Gol minit akhir buat Melaka United berputih mata

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

HAJAT Melaka United untuk mengutip tiga mata di laman sendiri lebur apabila terikat 1-1 dengan Petaling Jaya City FC di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Ia selepas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang sedang selesa mendahului satu gol hasil jaringan Romel Morales dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan.

M Kogileswaran menjadi duri dalam daging buat Melaka United apabila berjaya menjaringkan gol buat pasukan pelawat hanya beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dalam aksi yang berlangsung dalam hujan renyai itu, Melaka United dilihat lebih mendominasi perlawanan pada babak pertama menerusi beberapa percubaan berbahaya ke arah gol lawan.

Seawal minit pertama Uche Agba sudah menguji gawang PJ City FC yang dikemudi Kalamullah Alhafiz Mat Rowi, namun percubaannya sedikit lemah dan berjaya ditangkap kemas.

Selepas itu, beberapa lagi percubaan cuba direncana pasukan tuan rumah menerusi gandingan Agba dan Soni Norde, namun kesemuanya gagal menerjah jaring.

Sesekali, ada asakan cuba dilakukan pelawat, namun ia gagal diterjemah menjadi gol dan membuatkan keputusan seri tanpa jaringan kekal pada 45 minit pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan tampak terdesak mencari gol pendahuluan.

Namun, tuah lebih memihak Melaka United apabila gol yang dicari-cari muncul pada minit ke-71 hasil jaringan Romel Morales.

Semuanya berpunca daripada tindakan bijak Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman yang berjaya mencuri bola dalam situasi satu lawan satu sebelum melorongkannya kepada Morales yang sudah menunggu di sebelah kiri pintu gol.

Ketinggalan satu gol, anak buah K. Devan mula memperkemas permainan dan melakukan asakan ke kubu tuan rumah bagi mencari gol penyamaan.

Gol yang diinginkan pelawat hadir pada masa kecederaan hasil jaringan M. Kogileswaran yang memanfaatkan situasi kucar-kacir di gawang tuan rumah, dan berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan 1-1 kekal sehinggalah wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Keputusan seri itu bagaimanapun masih skuad Hang Tuah naik ke tangga keempat Liga Super dengan mengutip 11 mata daripada lapan perlawanan ekoran dua perlawanan melibatkan Kedah dan Sabah serta PDRM dan Perak terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

Selepas ini, Melaka bakal bertandang ke Sabah untuk aksi kesembilan Liga Super yang dijadualkan pada Sabtu depan.

Views:

445
Kongsi :
Previous post Warga Tangga Batu sumbang 70 beg darah bantu Tabung Darah Hospital Melaka
Next post Kealpaan minit akhir dera MU
Ubah saiz-+=