Warga Tangga Batu sumbang 70 beg darah bantu Tabung Darah Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 20 Sept. – Sebanyak 70 beg darah berjaya dikumpul melalui Program Derma Darah yang dianjurkan Penyelaras Parlimen Tangga Batu Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Melaka (ALPH Melaka), hari ini.

Program yang diadakan di Baitul Tariq, Klebang Besar, di sini mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila orang ramai tidak putus-putus hadir sejak ia diadakan bermula jam 10 pagi.

Menurut penganjur program, Datin Seri Rosefouziah Salleh, kejayaan mengumpul 70 beg darah itu nyata melangkaui jangkaan awal pihaknya yang hanya menyasarkan sebanyak 50 beg darah untuk dikumpul dalam program julung kali itu.

“Sambutan yang diterima memang luar biasa. Kita tak jangka menerima sambutan seramai ini, jadi kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh warga Tangga Batu yang datang dan menunjukkan keprihatinan mereka untuk membantu menambah bekalan Tabung Darah Hospital Melaka dan pada masa sama mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.

“InsyaAllah, kita akan perluaskan lagi program ini di kawasan-kawasan lain di dalam Parlimen Tangga Batu. Selepas ini mungkin kita akan adakan di Pantai Kundor, Sungai Udang dan Paya Rumput.

“Saya juga menggalakkan mana-mana pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkolaborasi bersama kami untuk menganjurkan program seumpamanya,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan.

Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Wira Abu Bakar Mohd Diah.

Hadir sama, Pengerusi ALPH Melaka Datuk Rosli Hassan, Ketua Puteri UMNO Negeri Nur Asyikin Alias, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Nor Adibah Bt Abdullah dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu Shalina Dolmat.

Turut membantu menjayakan program berkenaan ialah petugas barisan hadapan dari Unit Tabung Darah Hospital Melaka, ahli jawatankuasa Wanita dan Puteri UMNO bahagian Tangga Batu serta wakil belia dari Geng 18.

Selain menderma darah, program itu turut diserikan dengan pameran masakan dan ceramah berkaitan anti dadah yang dibawakan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Views:

471
Kongsi :
Previous post Melaka bakal menjadi hab menjual produk layang-layang
Next post Gol minit akhir buat Melaka United berputih mata
Ubah saiz-+=