Kebakaran: Kematian wanita OKU kerana lemas terhidu asap – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PONTIAN, 29 Mac – Kematian wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi di sini, semalam dipercayai akibat lemas terhidu asap.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata kejadian itu dilaporkan kepada pihaknya pada 1.30 tengah hari dan mangsa yang berusia lingkungan 48 tahun turut didapati melecur di beberapa bahagian badan serta meninggal dunia di lokasi berkenaan.

“Pihak bomba memaklumkan kebakaran bermula dari bahagian dapur dan merebak ke depan rumah namun punca kejadian sedang disiasat oleh pihak forensik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohammad Shofee menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga OKU supaya tidak meninggalkan individu berkenaan bersendirian di rumah dan memaklumkan kepada jiran bagi penjagaan atau pemerhatian sementara sekiranya perlu.

Sementara itu, Ketua BBP Pontian Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 12.27 tengah hari, semalam.

Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran sebuah rumah satu tingkat jenis kekal yang mengakibatkan kemusnahan 70 peratus daripada keseluruhan bangunan.

“Terdapat seorang mangsa wanita OKU ditemukan rentung di ruangan bilik tidur. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi pemadaman tamat pada 3.15 petang semalam.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

996
Kongsi :
Previous post LLM, syarikat konsesi lebuh raya kerjasama laksana sistem pembayaran tol terbuka
Next post Sembilan ditahan ambil upah lakukan khianat, ugutan kepada peminjam along
Ubah saiz-+=