Keindahan alam, sejarah lama keunikan Masjid Tanah

Masa Membaca:3 Minit, 31 Saat

Kedudukannya daripada sudut geografi yang strategik menjadikan Masjid Tanah sebagai sebuah bandar yang kian pesat membangunan, daripada segi perindustrian atau perbandaran, kesan daripada limpahan ekonomi masuk ke Negeri Melaka.

Namun sebalik kepesatan pembangunan Masjid Tanah sebenarnya menyimpan 1001 kisah sejarah yang belum terungkai sepenuhnya selain kaya dengan flora dan fauna serta keindahan alam.

Menerusi kunjungan bersama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka, penulis berpendapat lokasi bersejarah dan menarik di Masjid Tanah perlu terus dipulihara serta dipromosikan.

Usaha itu secara tidak langsung akan mewujudkan pelbagai lagi cabang produk pelancongan yang mungkin terpinggir akibat kerancakan pembangunan di kawasan itu jika sesuatu tidak dilakukan dengan segera.

‘LUBUK’ TANAMAN ANGGUR DAN BUAH TIN

Kunjungan kali pertama ke Taman Anggur Amanda Putri di Ramuan China Besar membuatkan penulis benar-benar bangga menjadi anak jati Melaka kerana Masjid Tanah sebenarnya juga kaya dengan pelbagai produk pertanian yang boleh diketengahkan atau dikembangkan lagi.

Melihat hasil tuaian ketika berkunjung ke ladang berkenaan, membuktikan kedua-dua tanaman itu sebenarnya sesuai ditanam di negara ini, namun perlu tahu cara penjagaan yang betul.

Pengurus ladang, Mohamad Dzarul Hakim Dol Malek, 28, mempunyai misi menjadikan perladangan anggur dan buah tin sebagai ikon pertanian Masjid Tanah.

Katanya, ladang yang diusahakan keluarga sejak 2002 asalnya merupakan hobi, namun kini membuahkan hasil dan mampu dikomersialkan ke peringkat yang lebih tinggi.

KENALI ‘PROFESOR’ ARANG

Kembara menjejak tarikan Masjid Tanah diteruskan ke Pusat Ekotourism Paya Lebar yang memiliki potensi amat besar sebagai destinasi pelancongan di Masjid Tanah.

Selain menyimpan pelbagai nilai sejarah dan dikelilingi hutan paya bakau yang juga habitat pelbagai jenis hidupan termasuk haiwan esksotik menjadikan penulis berasa seolah-oleh sedang menyusuri Sungai Amazon.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 11.20.13 AM (1)
HAJI Daut masih mengekalkan pembuatan arang mengikut cara lama.

Sungai Ramuan China Besar yang memisahkan Sungai Rembau dan Sungai Linggi kaya dengan pelbagai hasil perikanan dan menjadi lubuk rezeki bagi penduduk sekitar selain nelayan termasuk mereka mengusahakan produk hiliran.

Hampir 30 minit menyusuri sungai selepas belepas dari Jeti Pengkalan Paya Lebar, lawatan diketuai Pengerusi Matta Melaka Chapter, Goh Hock Gin kemudian singgah ke Sabak Arang.

Kami diperkenalkan kepada pemilik dan pengusaha arang menggunakan kayu bakau yang dikenali sebagai Haji Daut atau popular dengan panggilan ‘Profesor Arang’.

Meskipun sudah berada di penghujung usia Haji Daut masuh meneruskan perusahaan yang kini berusia hampir 100 tahun itu dengan menghasilkan produk kayu arang diiktiraf terbaik di Asia Tenggara.

Menggunakan pembikinan arang dengan sentuhan cara orang lama, sabak arang berkenaan dibeli daripada pengusaha asal berketurunan Cina.

TAMAN LOKAN DAN LUBUK BUAYA

Pada kunjungan kali ini kami amat bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri sang bedal sedang berjemur di tebing sungai, namun sebalik perasaan teruja melihat reptilia itu ada juga dalam kalangan ahli rombongan yang berasa gerun.

Ketika di Taman Lokan kami diberi kesempatan untuk merasai pengalaman menjala udang dan mencari lokan dalam kawasan berlumpur yang sudah dikhaskan.

Penat mencari lokan bawah terik mentari berbaloi apabila kami dihidangkan lokan bakar, sambil menikmati keindahan alam di tebing Sungai Rembau.

Kepada peminat aktiviti luar boleh meluangkan masa di Taman Lokan selepas ini kerana sebuah tapak perkhemahan lengkap dengan kemudahan asas dijangka dibuka tidak lama lagi.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 11.20.13 AM
TAMAN Lokan antara tarikan pelawat menyusuru Sungai Linggi.

WARISAN KERIS TAKKAN DILUPAKAN

Bagi peminat senjata Melayu atau mencari cenderahati Bengkel Laman Variasi terletak di Ramuan China Kechil adalah lokasi persinggahan wajib anda.

Bengkel itu menjadi saksi pembuatan ratusan keris dan parang soleh Zainuddin Bachik yang mengekalkan nilai estetik karya agung Melayu.

Selain cara pembuatan pelawat turut didedahkan mengenai istilah disebalik ciri-ciri terdapat pada keris, adab penggayaan keris dan falsafah keunikan senjata pahlawan Melayu itu.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 11.20.12 AM
ZAINUDDIN memberikan penerangan mengenai adab keris kepada peserta lawatan.

Setiap yang dipelajari mempunyai nilainya tersendiri membuatkan penulis bangga dengan hasil tangan orang Melayu yang mengutamakan adab dan penekanan agama dalam sesuatu perkara terutama dalam kehidupan.

Meskipun banyak lagi tempat menarik di Masjid Tanah, ini merupakan antara lokasi perlu diketengahkan lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) selang beberapa bulan lagi.

Semua pihak wajar memperkasa tarikan pelancongan di kawasan ini agar setiap lokasi pelancongan di Melaka terkehadapan sekali gus memperkasa ekonomi masyarakat sekitarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2723
Kongsi :
Previous post Amaran keras buat premis abai larangan merokok
Next post Seni gubahan daun getah
Ubah saiz-+=