Seni gubahan daun getah

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

JASIN 26 Mei – Menggunakan kreativiti dan kemahiran kraftangan dimiliki, Meran Md Yusof, 61, mampu mengolah daun getah yang kebiasaannya digunakan untuk membungkus tapai menjadi kuntuman bunga yang amat molek dijadikan sebagai perhiasan rumah.

Daun getah yang terbiar kering juga mampu digubah menjadi bunga telur, bingkai bunga, jam dan penanda buku.

Meran berkata, dia mula aktif menghasilkan perhiasan daripada daun getah sejak 13 tahun lalu, namun tidak pernah menaruh harapan untuk mengkomersialkan hasil kerja tangannya itu.

Katanya, dia yang tidak mempunyai sebarang asas berkaitan gubahan atau pengetahuan berkaitan kraftangan dan hanya mengikut cadangan wakil pihak Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang memintanya untuk mengikuti kursus.

seni daun getah sareha 7
MERAN memetik daun getah untuk menghasilkan kraftangan. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Selepas menghadiri kursus baru saya tahu daripada daun getah ini bermacam kraf atau hiasan dapat dihasilkan.

“Awalnya tidaklah begitu yakin kerana ketika itu ramai yang mengikuti kursus. Tetapi kerana ingin mencuba dan dapat galakkan saya belajar asas, cara awetkan daun serta gubahan.

“Berbanding daun lain, tekstur daun getak ini unik dan mudah dibentuk ketika proses menggubah, terpulang kepada kreativiti untuk buat bentuk apa,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Jus Permai, di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia tidak menyangka cubaannya menghasilkan kraf tangan mendapat perhatian rakan-rakan hingga ada membuat tempahan.

seni daun getah sareha 9
DAUN getah diproses sehingga kering untuk menghasilkan bunga hiasan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, menggubah daun getah bukan semudah yang disangka malah dia sendiri hampir berputus asa kerana tidak mendapat hasil seperti dimahukan.

“Berkat kesabaran saya masih bertahan sehingga hari ini malah tempahan juga sentiasa ada,” katanya.

Jelasnya, ketika awal pembabitan dalam bidang itu dia mendapatkan bantuan rakannya Kamariah Jamil, 56, kini bersama-sama dengannya menghasilkan kraf daun getah.

“Alhamdulillah, hasil daun getah kami pernah terpilih untuk dijadikan cenderahati pada Sukma Melaka sebelum ini selain turut dibawa Risda ke pameran di China dan Magribi.

seni daun getah sareha 1
Antara koleksi bunga hiasan yang diperbuat dari daun pokok getah di Kampung Jus Permai. Foto Iqmal Haqim Rosman.

“Tempahan selalu ada tetapi kami tidak dapat ambil dalam skala yang besar kerana ianya dibuat secara manual dan semua proses dilakukan oleh kami berdua sahaja.

“Sebenarnya proses awalnya agak rumit kerana kami perlu merendam daun getah dalam air selama sebulan sebelum dikeringkan, semuanya buat sendiri tiada guna mesin mungkin sebab itu ramai yang kurang berminat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4431
Kongsi :
Previous post Keindahan alam, sejarah lama keunikan Masjid Tanah
Next post Pusat khidmat pelanggan TH ditambah baik
Ubah saiz-+=