Amaran keras buat premis abai larangan merokok

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUKIT BERUANG 26 Mei – Jabatan Kesihatan Negeri memberi amaran keras kepada pengusaha kedai makan di negeri ini yang mengambil sikap sambil lewa terhadap larangan merokok di premis masing-masing.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman menegaskan pemilik premis perlu cakna dengan arahan tersebut dan tidak membiarkan mana-mana individu merokok di kawasan larangan.

“Kalau tiada usaha oleh pemilik premis sehinggakan ada yang merokok tapi dia buat tidak tahu juga, kita akan kenakan tindakan kompaun tanpa sebarang pengurangan.

“Tapi kalau mereka ada letakkan papan tanda notis larangan merokok dan telah cuba larang orang tidak merokok itu tidak boleh buat apa.

“Selepas ini kita memang tiada kompromi sebab antara alasan yang diberikan mereka adalah bertukar pemilik kedai, terlupa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Mega Bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT), di sekitar Bukit Beruang, malam tadi.

Operasi dijalankan serentak selama dua hari di daerah Melaka Tengah itu diketuai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem,

Selain kesalahan merokok di tempat awam, operasi diadakan kali ini turut mengeluarkan amaran bertulis kepada pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Rusdi berkata, sebanyak sembilan kesalahan telah dikeluarkan kepada pemilik premis membabitkan PPKHT di bawah peraturan 12(1)(a) iaitu kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di premis atau kenderaan, peraturan 12(1)(b) iaitu kegagalan memastikan tiada seorang merokok di dalam premis atau kenderaan dan peraturan 14(1) iaitu kegagalan mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau di kaunter di mana hasil tembakau dipamerkan atau ditawarkan untuk jualan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2093
Kongsi :
Previous post Melayang RM250 kerana ‘asap’
Next post Keindahan alam, sejarah lama keunikan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=