Melayang RM250 kerana ‘asap’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Kelekaan beberapa pemuda yang selamba menghisap rokok di kedai makan mengundang padah, apabila kesemua mereka dikompaun RM250.

Kompaun itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi Ops Mega Bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT), di sekitar Bukit Beruang, di sini, malam tadi.

Tinjauan mendapati meskipun sudah terpapar amaran bertulis larangan merokok, namun segelintir individu dilihat sesuka hati mengabaikan amaran itu.

Operasi bersepadu itu dijalankan serentak di seluruh negara membabitkan seramai 45 anggota kesihatan yang melakukan pemeriksaan di sekitar daerah Melaka Tengah bermula jam 8 malam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, dalam operasi itu sebanyak 150 kompaun telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan terutama merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata, operasi tersebut membabitkan 80 premis perniagaan seperti kedai makan, restoran, gerai, dan kedai jualan vape merekodkan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM41,250.

“Dalam sepanjang serbuan ini rata-rata yang berdegil merokok di kawasan umum ini adalah golongan pemuda lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Sikap degil dan sambil lewa biarpun ditegur pemilik kedai mengakibatkan mereka akhirnya menerima padah setelah dikompaun dalam operasi diadakan kali ini.

“Kerajaan Negeri mengarahkan agar operasi ini dilaksanakan berterusan selepas ini supaya kesedaran larangan merokok di kawasan ini dipertingkatkan bagi memastikan orang ramai terutama’ secondhand smokers’ berasa selamat terutama berada di tempat awam,” katanya selepas operasi tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1647
Kongsi :
Previous post Acara seni, kebudayaan semarak TMM2024
Next post Amaran keras buat premis abai larangan merokok
Ubah saiz-+=