Acara seni, kebudayaan semarak TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Beberapa program sudah dirancang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka sebagai persediaan mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Pengarahnya Ezlina Alias berkata, dengan adanya program yang dianjurkan ia secara tidak langsung dapat mempersiapkan karyawan lebih awal selain menjadi lebih kreatif.

“Sudah tentu kita di JKKN Melaka telah pun merancang beberapa program bagi menyemarakkan lagi sambutan sebelum menuju ke TMM2024 yang bakal tiba tahun depan.

“Dengan penganjuran acara seperti Program Menyemarakkan Seni Budaya dan Festival Merakyatkan Seni ia menjadi platform untuk kita menarik kedatangan pelancong ke Melaka.

“Malah secara tidak langsung juga karyawan kita sudah bersedia dan boleh digerakkan mengikuti program dianjurkan tanpa latihan yang teruk,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini ketika melihat persiapan panggung bagi persembahan muzikal Cak Kun Cak sempena Gegau Seni Budaya @Melaka di Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh.

Ezlina berkata, sebagai persiapan menghadapi TMM2024 pihaknya turut mengadakan kolaborasi bersama agensi kerajaan dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam penganjuran program.

“JKKN Melaka turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), PBT dan juga pihak Jonker Street dalam penganjuran program untuk menyemarakkan lagi sambutan TMM2024.

“Misalnya Festival Merakyatkan Seni dan Budaya yang dijadualkan pada Julai depan kita bekerjasama dengan pihak Jonker Street,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena Gegau Seni Budaya @Melaka yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini, pihaknya menyasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 2,000 orang dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya persembahan Kopi-Kopi Dondang Sayang, pertunjukan gasing serta Miss Grand Kebaya Cilik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1301
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak perempuan maut digilis lori
Next post Melayang RM250 kerana ‘asap’
Ubah saiz-+=