
KEJOHANAN TARIAN SINGA SEMARAKKAN HARI MALAYSIA DI MELAKA MALL
AYER KEROH 8 September – Kemeriahan sambutan Hari Malaysia bakal digamatkan lagi dengan persembahan penuh warna-warni sepanjang Kejohanan Tarian Singa Tradisional Piala Hang Tuah Jaya buat julung kalinya diadakan di Melaka Mall pada 16 September ini.
Kejohanan menghimpunkan 20 pasukan seluruh negara itu dianjurkan Persatuan Tarian Singa dan Naga Wen Wei Melaka dengan sokongan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pejabat Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar mempersembahkan tarian tradisional, tetapi menjadi platform memperkukuh warisan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Pertandingan ini menggabungkan seni, budaya dan sukan dalam satu acara yang mampu menarik minat masyarakat untuk menghargai warisan tradisional yang semakin popular di peringkat antarabangsa.
“Ia juga memberi ruang kepada pasukan bertanding untuk bertukar pengalaman dan meningkatkan mutu persembahan mereka, sekali gus melahirkan bakat baharu dalam seni tarian singa,” katanya.
Menurut Sapiah, kejohanan itu turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM11,000 dan pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori utama.
“Juara akan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala dan 10 pingat, naib juara menerima RM3,000 beserta piala dan 10 pingat, tempat ketiga RM2,000 beserta piala dan 10 pingat, manakala tempat keempat menerima RM1,000 beserta piala dan 10 pingat.
“Selain itu, Anugerah Singa Emas turut disediakan dengan 11 piala khas untuk pasukan yang dipilih berdasarkan persembahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan itu akan dinilai panel pengadil profesional menggunakan sistem pemarkahan merangkumi teknik, tema, pakaian, muzik dan kesenian keseluruhan.
“Semua pasukan diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kejohanan berjalan lancar dan harmoni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.