Kejuruteraan ekologi kawal serangga perosak

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI RAMBAI 22 Ogos – Kawasan sawah padi di Parit Penghulu, dipilih sebagai perintis pembangunan Plot Kejuruteraan Ekologi, bagi mengurangkan penggunaan racun perosak.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, plot itu berfungsi sebagai tempat berlindung sahabat ladang seperti pemangsa serta parasitoid yang turut memainkan peranan mengawal populasi musuh tanaman.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk melihat keberkesanan pelaksanaan kaedah ekologi berbanding penggunaan bahan kimia atau racun bagi mengawal serangga perosak.

“Sawah di Parit Penghulu adalah kawasan pertama di Negeri Melaka yang mengamalkan kaedah ini. Boleh dianggap sebagai projek perintis dan jika berjaya cara akan ini akan diperluaskan ke kawasan lain.

“Harapan saya adalah untuk melihat penggunaan kaedah ini memberikan pulangan lebih besar kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas Walkabout Program Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) dan Pembangunan Kejuruteraan Ekologi, Jabatan Pertanian Malaysia di Sawah Kampung Parit Penghulu, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Pertanian Negeri, Rozli Azizi Talib.

Katanya, Jabatan Pertanian Melaka juga menanam sebanyak 1,000 pokok Turnera di sekeliling sawah padi itu bagi menghalang serangan serangga perosak.

“Selain itu perangkap siput juga dipasang, cara ini terbukti berkesan untuk mengurangkan ancaman perosak tanaman itu,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, mengikut rekod setakat ini Negeri Melaka mempunyai seramai 1,000 pesawah berdaftar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1179
Kongsi :
Previous post Memori negara merdeka
Next post TMM2024: Sawah padi Sungai Rambai bakal gamit pelancong
Ubah saiz-+=