TMM2024: Sawah padi Sungai Rambai bakal gamit pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI RAMBAI 22 Ogos – Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan kawasan sawah padi Parit Penghulu sebagai destinasi hab agropelancongan baharu di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, biarpun kawasan sawah padi itu lebih kecil berbanding negeri lain, namun ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Kita kena tahu bahawa Melaka negeri pelancongan, kalau kita nak bandingkan sawah kita dengan negeri Kedah atau Selangor, sudah tentu kita lebih kecil.

“Tetapi kita perlu ambil peluang atas sektor pelancongan dan orang ramai yang datang ke Melaka, kita nak tarik orang datang ke sini kerana ada agropelancongan.

“Saya sudah bincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai dan kita akan bawa perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk jadikan Sungai Rambai ini sebagai hab agropelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Walkabout Program Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) dan Pembangunan Kejuruteraan Ekologi, Jabatan Pertanian Malaysia di Sawah Kampung Parit Penghulu, di sini, hari ini.

photo1692678105
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh menunjukkan burung pungguk ketika mengadakan Walkabout Program Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) dan Pembangunan Kejuruteraan Ekologi, Jabatan Pertanian Malaysia di Sawah Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Pertanian Negeri, Rozli Azizi Talib. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Adun Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Pertanian Negeri, Rozli Azizi Talib.

Mengulas lanjut Dr. Muhamad Akmal berkata, dengan adanya kepelbagaian hab pelancongan di negeri ini, pelancong tidak lagi hanya tertumpu di kawasan Bandar Melaka.

Sebaliknya, beliau percaya keunikan dan keindahan yang ada di beberapa tempat termasuk Sungai Rambai berpotensi menggamit kehadiran pelancong.

“Sungai rambai ini ada pelbagai tarikan seperti sawah padi, sungai yang cantik, ladang-ladang yang boleh dinaik taraf dan banyak lagi.

“Selepas ini orang yang datang Melaka boleh akan ‘explore’ (terokai) seluruh Melaka.

“Kalau mereka nak cari agropelancongan yang cantik, sawah padi dan tempat rekreasi, maka mereka boleh datang ke Kampung Parit Penghulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3097
Kongsi :
Previous post Kejuruteraan ekologi kawal serangga perosak
Next post JKM Melaka bersedia hadapi banjir
Ubah saiz-+=