Kelulut sumber gadis bantu ibu harungi cabaran kehidupan

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Julai – Walaupun hanya mengusahakan lima sarang kelulut, hasil madu diperoleh seorang wanita dapat menampung perbelanjaan keluarganya sejak tiga tahun lalu.

Nabila Abdul Kadir Jalani, 29, juga memastikan pendapatannya tidak terjejas dalam membantu ibu, Salbiah Tamby, 54, yang hanya bekerja kampung serta lima adiknya berusia antara 15 hingga 28 tahun.

Sehubungan itu, dia bersyukur kerana kelulut tetap mendapat permintaan baik daripada penggemar bahan makanan berkhasiat berasaskan sumber asli meskipun pandemik melanda negara.

NABILA mempamerkan kaedah menyedut madu kelulut.

“Hanya tiga daripada lima sarang diusahakan mampu mengeluarkan hasil memuaskan pada satu-satu masa, bergantung pada jumlah kelulut yang masuk dalam sarang.

“Ratu dalam setiap sarang amat penting berfungsi menggalakkan ‘rakyatnya’ menghasilkan madu dan tanpa ratu, tidak mungkin sarang akan mengeluarkan madu memuaskan,” katanya di kediamannya di Kampung Tangga Batu, Tanjung Kling di sini hari ini.

Dia menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menyampaikan sumbangan kit makanan dan wang untuk keluarganya.

Pemegang Diploma Kejururawatan itu berkata, minat mendalam berkaitan pokok bunga, mendorong dia bekerja dengan ibu saudaranya yang mengusahakan tapak semaian pelbagai jenis pokok bunga tidak jauh dari kediamannya.

Dengan menyaksikan sendiri kelulut menyedut madu pada pokok bunga, Nabila berminat mengusahakan madu kelulut dengan membeli lima sarang daripada batang pokok yang ditebang oleh penjual sarang kelulut.

NABILA menerima sumbangan kit makanan daripada Nor Azman.

“Setiap satu sarang bernilai antara RM400 hingga RM500 dan alhamdulillah, sekarang semua sarang itu sudah menghasilkan madu selepas saya menunggu agak lama untuk kelulut datang menghuninya dan mengeluarkan madu,” katanya.

Bagaimanapun, Julai adalah waktu pengeluaran madu paling rendah berikutan kekurangan madu yang dihisap lebah kelulut berbanding antara Februari hingga Mei setiap tahun.

“Waktu kemuncak pengeluaran madu adalah pada Mac kerana cuaca panas ketika itu menggalakkan kelulut menghisap lebih banyak madu,” katanya.

Pada waktu kemuncak, Nabila memperoleh lima botol madu 250 mililiter (ml) yang setiap satu dipasarkan pada harga RM50.

Sementara itu Nor Azman berkata, beliau kagum dengan semangat juang yang tinggi dimiliki gadis terbabit bagi meringankan beban ibunya untuk meneruskan kehidupan, terutama ketika menghadapi ujian hebat akibat pandemik COVID-19 sekarang.

Sehubungan itu, beliau sedia membantu meningkatkan kemajuan pengeluaran madu kelulut berkenaan bagi memastikan Nabila muncul sebagai antara usahawan berjaya di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

913
Kongsi :
Previous post Elak syak wasangka, jururawat tunjuk jarum depan penerima vaksin
Next post Padah ‘berpesta’ hari jadi, 13 lelaki dikompaun
Ubah saiz-+=