Elak syak wasangka, jururawat tunjuk jarum depan penerima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MACHAP BARU 22 Julai – Bagi mengelakkan kegusaran masyarakat mengenai isu vaksin kosong yang hangat diperkatakan sekarang, seorang sukarelawan jururawat pemberi vaksin menggunakan kaedah menunjukkan jarum dan vaksin berulang kali kepada semua penerimanya.

Hee Kim Lan, 57, berkata, penerangan itu akan dimaklumkan kepada semua penerima vaksin di program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kompleks Japerun Machap Jaya, di sini.

Dia berkata, dengan cara itu bukan sahaja mengurangkan kerisauan orang ramai bahkan dapat mengembalikan imej penyuntik vaksin yang sedikit tercalar sebelum ini.

KIM Lan menunjukkan botol vaksin yang digunakan.

“Memang semua orang saya akan tunjukkan botol dan jenis vaksin yang digunakan. Kemudian, saya akan tunjukkan jarum dan berapa kuantiti vaksin yang digunakan.

“Selepas menyuntik, saya akan menunjukkan semula jarum suntikan itu bagi membuktikan kami telah memberi vaksin kepada penerima.

“Setakat ini, rata-rata penerima berpuas hati dan tidak lagi ragu-ragu mengenai vaksin yang diterima mereka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini dalam program MOVAK di Japerun Machap Jaya, hari ini.

Bercerita lebih lanjut, Kim Lan yang juga bekas Ketua Penyelia Jururawat Hospital Melaka berkata, sepatutnya dia sudah bersara wajib pada Januari lalu.

Namun, disebabkan melihat peningkatan kes COVID-19, selain rasa ingin membantu dan menyumbang bakti kepada negara, dia menawarkan diri menjadi sukarelawan pemberi vaksin.

“Kalau ikutkan lepas bersara memang saya mahu luangkan masa dengan keluarga. Tetapi apabila memikirkan keadaan semasa negara yang sedang kritikal, saya terpanggil untuk membantu.

“Pada awalnya suami memang larang, tetapi saya terangkan yang saya buat semua ini untuk membantu negara dalam situasi sukar dan akhirnya dia faham,” katanya yang juga pernah berkhidmat di Hospital USM Kelantan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Jasin.

Dia yang berasal dari Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah berkata, sejak menjadi pemberi vaksin bersama MOVAK, bermacam ragam dan gelagat penerima vaksin ditemuinya.

Antara tidak boleh dilupakan ialah menyuntik individu melatah hingga memaksa ramai petugas memegang individu berkenaan bagi memudahkan urusan.

“Ada juga yang takut jarum sehingga menyukarkan proses suntikan. Tetapi selepas menggunakan pendekatan memujuk, individu itu akhirnya selamat divaksin,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post Ketua balai ‘berhibur’ di dalam balai polis ditahan kerja mulai hari ini
Next post Kelulut sumber gadis bantu ibu harungi cabaran kehidupan
Ubah saiz-+=