Padah ‘berpesta’ hari jadi, 13 lelaki dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BATU BERENDAM 22 Julai – Tiga belas lelaki dikompaun masing-masing RM2,000 kerana meraikan hari jadi di sebuah premis perniagaan di Taman Merdeka, di sini Isnin lalu.

Tindakan lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun itu dirakam menerusi rakaman video berdurasi tiga minit 54 saat dalam kejadian antara jam 4.30 petang hingga 11.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan video itu semalam yang dipercayai terdapat unsur kongsi gelap dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, hasil risikan mendapati majlis dianjurkan oleh seorang lelaki dipercayai pemilik premis dan dihadiri 12 kenalannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Hasil risikan polis juga mendapati terdapat aksi dua daripada mereka menunjukkan isyarat disyaki unsur kongsi gelap ketika memotong kek hari jadi.

“Berikutan itu, Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) menahan semua lelaki terbabit dalam Op Cantas Khas di sekitar negeri ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sukri, dalam penahanan itu, polis turut merampas telefon bimbit milik seorang daripada individu yang merakam video berkenaan.

“Semua tangkapan itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan selesai.

“Semua lelaki terbabit dikompaun keseluruhan RM26,000 kerana melanggar SOP mengikut Peraturan 16 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata pihaknya turut menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 50(3) dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

Jelasnya, polis memandang serius sebarang aktiviti kumpulan kongsi gelap dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah berkenaan.

“Masyarakat dinasihatkan tidak memasukkan elemen kongsi gelap dalam aktiviti keagamaan, persatuan mahupun mana-mana aktiviti yang boleh mengganggu keselamatan dan kententeraman awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post Kelulut sumber gadis bantu ibu harungi cabaran kehidupan
Next post 3,350 rakyat Melaka terima manfaat MOVAK
Ubah saiz-+=