3,350 rakyat Melaka terima manfaat MOVAK

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MACHAP JAYA 22 Julai – Seramai 3,350 penduduk di kawasan luar bandar negeri ini bakal menerima manfaat daripada Program Mobilisasi Vaksin Kebangsaan (MOVAK).

Exco Perpaduan, Datuk Wira AR Ismail Othman berkata, jumlah itu merangkumi 950 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan masing-masing 600 penerima di Machap Jaya, Asahan, Selandar dan Ayer Limau.

Katanya, program MOVAK di Machap Jaya bermula hari ini dan esok, diikuti Asahan (26 dan 27 Julai), Selandar (29 dan 30 Julai) dan Ayer Limau (2 dan 3 Ogos).

“MOVAK ini akan beroperasi empat hari seminggu kecuali pada Rabu, Sabtu dan Ahad dengan setiap kawasan akan diperuntukkan selama dua hari untuk memberikan suntikan kepada rakyat.

“Seramai 100 petugas termasuk petugas kesihatan dan sukarelawan akan berkhidmat di setiap kawasan bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Kita percaya dengan inisiatif ini ia dapat mempercepatkan proses suntikan vaksin di negeri ini, khususnya membabitkan penduduk di kawasan luar bandar yang tinggal jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke Program MOVAK di Kompleks Japerun Machap Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, selepas tamat MOVAK fasa pertama membabitkan lima kawasan itu, pihaknya bercadang untuk menambah beberapa lagi kawasan luar bandar lain untuk diberikan suntikan secara bergerak.

Antara kawasan yang dijangka dijelajah selepas ini, ujarnya, termasuklah kawasan DUN Rim dan Tanjung Bidara.

“Ada lima lagi lokasi baharu yang kita cadangkan, namun ia masih di peringkat perbincangan dan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post Padah ‘berpesta’ hari jadi, 13 lelaki dikompaun
Next post Peserta bukan Melayu sahut cabaran Pidato Rukun Negara
Ubah saiz-+=