Peserta bukan Melayu sahut cabaran Pidato Rukun Negara

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MACHAP JAYA 22 Julai – Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, menerima sambutan cukup menggalakkan sejak pendaftarannya dibuka 5 Julai lalu.

Exco Perpaduan, Datuk Wira AR Ismail Othman berkata, setakat ini 42 peserta mengesahkan penyertaan dan percaya penyertaan akan meningkat mendadak menghampiri 300 penyertaan sebelum tarikh tutup pada 31 Julai nanti.

Beliau berkata, lapan daripada 42 perserta terbabit adalah kalangan individu bukan Melayu.

“Jika tahun lepas kita boleh dapat lebih 200 peserta, saya percaya kali ini lebih kerana difahamkan ramai peserta dalam proses akhir membuat rakaman video sebelum menghantar permohonan.

“Menariknya, sambutan bukan Melayu juga begitu baik apabila kita menerima lapan permohonan setakat ini dan kita sasar 30 peserta bukan Melayu akan menunjukkan bakat berpidato dalam pertandingan kali ini.

“Penyertaan bukan Melayu sangat penting untuk kita memahami apa itu Rukun Negara, sekali gus mempupuk semangat keharmonian yang tinggi sesama kita,” katanya ketika ditemui selepas melawat Program Mobilisasi Vaksin Kebangsaan (MOVAK) di Japerun Machap Jaya, hari ini.

Untuk rekod, penyertaan dibuka sehingga 31 Julai ini dengan peserta boleh menghantar rakaman video pidato masing-masing ke alamat e-mel [email protected].

Saringan pertama dilakukan pada 9 hingga 12 Ogos depan, manakala peringkat separuh akhir bermula pada 16 hingga 17 Ogos.

Peringkat akhir pertandingan adalah pada 21 Ogos diadakan secara langsung di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Lima kategori dipertandingan seperti Kategori Awam, institusi pengajian tinggi (IPT), Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu yang menawarkan hadiah antara RM300 hingga RM5,000.

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan berkenaan boleh hubungi urus setia pidato di talian 06-3174475/ 011-11117547 (Institut Tun Perak).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post 3,350 rakyat Melaka terima manfaat MOVAK
Next post Perhalusi kebenaran rentas negeri pasangan PJJ, ziarah ibu bapa – TPM
Ubah saiz-+=