KEMAS bantu asnaf berdikari

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Peserta Program Asnaf Berdikari KEMAS Melaka 2022, Siti Syazwani Zanim, 25, berharap dikurniakan kejayaan, sekali gus keluar daripada kelompok asnaf.

Siti Syazwani, berasa amat bersyukur kerana berpeluang dan menjadi antara asnaf yang terpilih untuk memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan sendiri.

Katanya, selepas suami tidak dapat lagi bekerja sebagai pemandu lori kerana perlu menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang, dia mengambil alih tugas menyara keluarga.

“Pada awalnya agak buntu untuk mencari pendapatan tetapi mujurlah sebelum ini saya ada mengikuti kelas KEMAS yang diadakan di kampung, apa yang dikongsi di kelas berkenaan banyak membantu.

“Jika sebelum ini saya hanya membuat kuih yang dihantar ke kedai makan, sekarang saya mahu meluaskan lagi pasaran dengan berniaga sendiri.

“KEMAS amat membantu kerana turut menyediakan peralatan seperti payung dan peralatan lain yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di tapak program itu di Menara Persekutuan, di sini, hari ini.

Sementara itu seorang lagi peserta Noraziah Ramli, 36, berkata, menerusi Program Asnaf Berdikari dia bukan sahaja diberikan tunjuk ajar malah menerima bantuan RM3,000.

Sebelum ini dia menerima tempahan daripada pelanggan yang disiapkan di rumah, namun menerusi program dianjurkan Noraziah mendapat pendedahan melayan pelanggan secara berhadapan.

“Sebenarnya saya minat dan berhajat untuk membuka kedai makan sendiri tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan, mungkin program ini adalah permulaan untuk saya mengumpul modal sebelum dapat meluaskan lagi perniagaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 orang asnaf terpilih yang menyertai program itu menerima bantuan RM3,000 daripada KEMAS sebagai modal memulakan perniagaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1003
Kongsi :
Previous post PM ingatkan majikan ambil serius pelaksanaan gaji minimum
Next post Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman
Ubah saiz-+=