Kemungkinan lebih daripada satu kapal- Muhammad Jailani

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BANDAR HILIR 2 April. – Kemungkinan terdapat lebih daripada satu kapal terbabit dalam penemuan pelbagai artifak termasuk papan dan kayu dipercayai struktur kapal karam dan tertanam di kawasan tambakan laut di Pulau Melaka, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia berikutan ada beberapa artifak dipercayai dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka itu dijumpai di luar kawasan penemuan struktur kapal karam dengan struktur pasak pada kayu merbau yang bersaiz sedikit lebar berbanding kayu-kayu lain.

Bagaimanapun, pihaknya akan menjalankan kajian terperinci dari sudut ujian karbon dengan pakar berkaitan untuk menentukan spesifikasi kayu yang ditemui.

MUHAMMAD Jailani (kiri) menunjukkan artifak tembikar dan duit syiling lama dipercayai dari kurun ke-15 sambil diperhatikan Akramuddin (kanan).

“Kita dapati beberapa tembikar yang kita jumpa adalah di luar kawasan kita menjumpai serpihan kapal. Sebagai contoh tembikar dipercayai dari Dinasti song ini kita temukan di kawasan persekitaran.

“Kita takut (jangka) mungkin ada lebih daripada dua kapal terlibat tapi setakat hari ini, kita dapat pastikan ada satu kapal.

“Oleh kerana itu, saya tidak menolak kemungkinan ada pertembungan atau kemalangan yang berlaku antara dua kapal kerana ada satu pasak di sebelah kanan agak besar dan berlainan dengan kayu-kayu yang kita jumpa yang mana saiznya agak sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Tapak Ekskavasi Penyelamatan Jumpaan Kapal Karam di Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman dan Ketua Penyelidik Datuk Dr. Dionysius Sharma.

Dalam pada itu Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri akan mempergiat kerja-kerja ekskavasi penyelamatan di kawasan terbabit sebelum membuktikan kaitan kesemua artifak itu dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

MUHAMMAD Jailani melihat kepingan papan dan kayu dipercayai rangka atau struktur kapal karam pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir.

“Kerajaan negeri di bawah portfolio pelancongan akan mengambil tindakan segera supaya mengenal pasti bersama-sama pasukan arkeologi daripada Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr Dionysius dan PERZIM.

“Kita akan mengenal pasti kawasan yang benar-benar kita nak kepung. Kawasan yang sebenarnya kita yakin adalah lambakan artifak-artifak ini,” katanya lagi.

Semalam Melaka Hari Ini (MHI) secara eksklusif melaporkan sejumlah artifak termasuk ratusan duit syiling dipercayai digunakan bagi tujuan perdagangan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 ditemui di kawasan paya bakau Pulau Melaka di sini.

Antara artifak ditemui termasuk pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Song, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.melakahariini.my/beratus-duit-syiling-lama-tembikar-zaman-kesultanan-melayu-melaka-kurun-ke-15-ditemui/

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post JDT calar rekod bersih MUFC
Next post 3.5 peratus penerima vaksin alami kesan sampingan ringan, serius
Ubah saiz-+=