JDT calar rekod bersih MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

REKOD tanpa kalah Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) dalam aksi Liga Super 2021 akhirnya lebur apabila tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi.

Beraksi di hadapan 2,000 penyokong sendiri buat kali pertama selepas lebih setahun, tuan rumah yang juga juara Liga Super tujuh kali, nyata lebih bersemangat apabila mendahului seawal minit keempat menerusi pemain pertahanan, Adam Nor Azlin yang menanduk kemas bola menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Berselang empat minit, JDT terus menambah duka pelawat menerusi Bergson da Silva.

Gol itu berpunca kesilapan Khairul Fahmi dan Jang Suk Won yang secara tidak sengaja memberikan bola kepada Leandro Velazquez yang kemudiannya melorongkan bola berkenaan kepada Bergson yang tidak dikawal di dalam kotak penalti.

Ketinggalan dua gol, anak buah Zainal Abidin Hassan dilihat bergelut untuk mengimbangi dominasi tuan rumah.

Walaupun memperoleh beberapa peluang, namun pasukan pelawat gagal menterjemahkannya menjadi gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, MUFC yang sedang ketinggalan dilihat bermula garang untuk merapatkan jurang defisit dua gol.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-48 menerusi Sony Norde, malangnya rembatan kencang dalam kotak penalti pemain kebangsaan Haiti itu terkena tiang meskipun penjaga gol JDT, Mohd Haziq Nazli sudah tertewas.

Pada minit ke-73, Norde sekali lagi berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gol, namun berjaya ditepis penjaga gol dan tindakan susulan pemain gantian, Mohamad Fakhrullah Rosli pula tersasar.

Sebaliknya, JDT yang bermain lebih santai berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-82, sekali lagi menerusi Bergson yang menerima umpanan cantik Mohamadou Sumareh yang masuk sebagai pemain gantian.

Tamat 90 minit perlawanan, keputusan tiga gol tanpa balas kekal memihak JDT sekali gus menghadiahkan kekalahan sulung skuad Hang Tuah selepas enam perlawanan.

Untuk rekod, selepas dipotong tiga mata, MUFC kini mengutip empat mata hasil satu kemenangan, empat seri dan tewas sekali

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post Penipuan jual beli dalam talian semakin membimbangkan
Next post Kemungkinan lebih daripada satu kapal- Muhammad Jailani
Ubah saiz-+=