Sorting by

×

KENANGAN MANIS SERTAI HUMAN GRAPHIC MERDEKA PERTAMA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 1 September – Teruja apabila terlibat dalam lipatan sejarah negeri kerana buat pertama kali Melaka membentuk formasi Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025  Peringkat Negeri Melaka.

Meskipun masa persiapan singkat, namun bagi peserta, formasi Human Graphic itu adalah satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, Muhammad Nu’ Irfan Ramlan, 15, berkata penyertaannya dalam persembahan padang tersebut adalah pengalaman baharu yang sangat berharga.

“Pada awalnya guru memaklumkan saya tidak terpilih daripada 80 pelajar wakil sekolah. Namun saya secara sukarela mahu menyertai kerana tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian lipatan sejarah ini.

“Kami hanya sempat berlatih pergerakan tiga minggu sahaja, kemudian kurang dua hari berlatih di lokasi sambutan. Memang meletihkan, tetapi ia adalah kenangan manis yang saya tidak akan lupakan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jalan Persiaran Banda Hilir di sini hari ini.

Nada sama disuarakan pelajar SMK Tun Mutahir, Sofea Aryssa Subari, 14, bangga menjadi sebahagian daripada peserta Human Graphic pertama di Melaka.

“Sebenarnya saya tidak pernah hadir ke sambutan Kemerdekaan sebelum ini. Jadi ini kali pertama dan saya terlibat pula sebagai peserta.

“Saya sangat teruja, seronok dan memperoleh pengalaman baharu, di samping menambahkan lagi rasa patriotik dalam diri,” ujarnya.

Formasi persembahan padang Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025 Peringkat Negeri Melaka ini merupakan yang pertama diadakan, membabitkan lebih 1,500 penyertaan daripada pelajar 80 buah sekolah di seluruh negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post GILIRAN MELAKA JADI TUMPUAN DUNIA DI OSAKA
Next post TARIAN MELAKA ‘PUKAU’ OSAKA