Kenderaan berat tambah kesengsaraan mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 5 Nov. – Kenderaan berat yang melalui Jalan Lubok China-Rembau didakwa menambah penderitaan mangsa banjir yang berniaga di tepi jalan berkenaan.

Norfizah Norrahim, 39, mendakwa jalan Lubok China-Rembau di hadapan kedainya hanya dinaiki air setinggi kira-kira 0.9 meter semalam, tetapi air melimpah agak deras ke kedainya akibat dilalui kenderaan berat.

“Air yang naik tidaklah setinggi mana pun tetapi apabila jalan itu dilalui kenderaan berat, air yang melimpah ke kedai menjadi deras dan merosakkan barangan dalam kedai.

“Jika kenderaan berat tidak dibenarkan melalui jalan itu semasa banjir, saya percaya kedai kami tidak mengalami kerosakan yang agak teruk akibat arus air yang deras,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.

Beliau dibantu anak saudaranya, Intan Zamri, 22, dan Zahirulhaq M Nasir, 20, membersihkan lumpur dan kotoran lain yang memenuhi ruang dalam kedai menjual pelbagai bahan makanan tradisional, terutama dodol dan wajik.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, kedai wanita terbabit dinaiki air setinggi 0.9 meter selepas Sungai Rembau yang kira-kira 50 meter dari kedainya melimpah akibat hujan lebat di hulu.

Menjelang jam 12 tengah hari arus semakin deras dan menyebabkan pelbagai barangan jualan dihanyutkan arus, katanya.

Bagaimanapun air mulai surut pada jam 6 petang semalam sebelum keseluruhan ruangan dalam kedainya tidak lagi ditenggelami air pada jam 9 malam tadi.

Katanya, beliau dan dua pembantu terbabit memanfaatkan keadaan itu untuk membasuh lantai kedai dan rak barangan yang terjejas akibat dinaiki air.

Beliau berkata, banjir semalam adalah yang keempat dialami tahun ini selepas yang pertama pada Januari sebelum diikuti pada Mac, Mei dan Julai lalu.

“Saya sudah lali dengan banjir kilat seumpama itu tetapi kami tidak pernah menyesal berniaga di kawasan ini kerana ia adalah laluan yang agak sibuk bagi mereka yang dari Lubok China yang ingin ke Rembau dan Seremban,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap pihak berkuasa mampu mengambil langkah mengurangkan kekerapan banjir seperti mendalamkan Sungai Rembau atau anak sungai yang berhampiran kedai berkenaan.

Views:

772
Kongsi :
Previous post Sungai Melaka bertukar warna seakan ‘air teh’
Next post Syukur sempat selamatkan barangan perniagaan
Ubah saiz-+=