Sungai Melaka bertukar warna seakan ‘air teh’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 Nov. – Bukan sahaja bertukar warna seakan ‘air teh’, malah Sungai Melaka turut dipenuhi sampah sarap, sekali gus mencacatkan keindahan pemandangan di sekitar jeti Melaka River Cruise (MRC) di Pengkalan Rama.

Selain timbunan sampah sarap kelihatan juga ikan-ikan timbul di permukaan sungai dipercayai akibat kekurangan oksigen.

Bagi Norhanim Lajim, 30, berkata, dia yang melalui kawasan itu untuk aktiviti berbasikal bersama rakannya terkejut apabila melihat air sungai tidak seperti selalu, malah bertukar menjadi kotor.

Katanya, walaupun sebelum ini ada juga kelihatan sampah tetapi keadaan pada hari ini amat berbeza sekali.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan melalui kawasan ini untuk berbasikal tetapi hari ini memang terkejut dan sedih melihat keadaan seperti ini.

“Bukan hanya sedih melihat keadaan ikan yang tercungap-cungap menunggu masa untuk mati, tetapi turut bersimpati dengan kerja yang akan dilakukan oleh petugas yang akan membersihkan sungai itu nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, fenomena air Sungai Melaka bertukar kotor berlaku hampir setiap tahun kerana air empangan terpaksa dilepaskan bagi mengelak limpahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir.

Beliau berkata, apabila air di Empangan Batu Hampar terpaksa dilepaskan ia turut membawa sampah sarap daripada atas.

“Apabila dilepaskan air akan turun ke bawah tempat MRC  bersama benda kotor dan apabila air kotor bercampur dengan air yang baik oksigen di dalam air berkurang.

“Walaupun fenomena kali ini tidak seteruk sebelumnya pihak kami sudah arahkan kerja pembersihan dilakukan segera dengan membuang segala sampah sarap yang dibawa,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, keadaan air Sungai Melaka akan kembali pulih dalam tempoh terdekat sekiranya cuaca tidak hujan.

“Kalau kata tiada hujan dalam tempoh sehari dua, air akan kembali bersih seperti biasa.

“Apa yang sering berlaku, apabila berlaku hujan di kawasan hulu sungai dan di sini tidak hujan, air akan turun ke bawah menyebabkan paras empangan tinggi,” katanya.

Views:

1495
Kongsi :
Previous post ‘Saya hanya mampu berdoa isteri kembali sihat’
Next post Kenderaan berat tambah kesengsaraan mangsa banjir
Ubah saiz-+=