‘Saya hanya mampu berdoa isteri kembali sihat’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Nov. – “Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kesihatan isteri yang terpaksa menjalani rawatan di ICU,” kata Maarif Mohamad, 58.

Beliau berkata, tiada apa yang mampu dilakukannya selain berserah kepada Allah dan berharap kesihatan isterinya kembali sejahtera melalui rawatan diberikan doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Isterinya, Siti Rohani Senin, 54, yang bekerja di kilang memproses ayam di kawasan perindustrian Masjid Tanah, di sini terhidu gas ammonia bocor di kilang berkenaan kira-kira jam 8.15 malam baru-baru ini.

Beliau berkata, doktor memaklumkan kepadanya, isterinya mengalami masalah untuk bernafas dengan sempurna akibat terhidu gas berkenaan.

“Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT mengembalikan kesejahteraan kesihatan isteri selepas terpaksa menjalani rawatan di ICU,” katanya di Kampung Padang Kemunting, di sini semalam.

Anaknya, Hafifi, 22, berkata dia dan kakaknya terpaksa menjaga ibunya secara bergilir-gilir di luar ICU bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya jaga pada sebelah malam, manakala kakak jaga sebelah siang bagi mengikuti perkembangan rawatan ibu dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, Siti Rohani yang sudah 20 tahun bekerja di kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, dekat sini dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas ammonia yang bocor.

Hafifi yang menerima panggilan daripada sepupunya yang turut bekerja di kilang itu pada jam 8.20 malam kelmarin, bergegas datang ke kilang ketika semua pekerja dalam keadaan kelam-kabut keluar dari kilang bagi mengelak terhidu gas.

Dia membawa ibunya ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Melaka berikutan keadaannya yang agak serius.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka (JBPM) Penolong Penguasa Bomba Soon We Kiang dilaporkan berkata, seramai 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan 10 anggota bomba dari Masjid Tanah dan Alor Gajah mendapati terdapat pencemaran bau gas ammonia.

Bagaimanapun kebocoran itu sudah ditutup pihak pengurusan kilang dan operasi pasukan bomba berjaya mengawal keadaan pada jam 9.25 malam sebelum ditamatkan pada jam 5.31 pagi kelmarin, katanya.

Beliau berkata, Komander HAZMAT melaporkan bacaan ‘Backgroup 52 KPS Ammonia’ dan selepas memastikan lokasi kejadian bebas daripada bau gas serta tiada risiko berbahaya dan pasukan bomba meninggalkan lokasi pada jam 5.58 pagi.

Views:

2073
Kongsi :
Previous post Biden rapatkan jurang dengan Trump
Next post Sungai Melaka bertukar warna seakan ‘air teh’
Ubah saiz-+=