Kenderaan, khemah peniaga rosak akibat angin kuat di Ipoh

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

IPOH, 28 Mac – Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

Salah satu insiden terbabit, yang turut tular di media sosial, ialah di kawasan parkir restoran makanan segera di Medan Gopeng yang melibatkan beberapa kenderaan pelbagai jenis.

Tinjauan Bernama di lokasi tersebut mendapati sebahagian kenderaan telah ditunda ke bengkel dengan trak tunda.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Husna, 30an, berkata bumbung serta cermin kereta Proton Saga miliknya rosak teruk akibat dihempap pokok.

Beliau yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi hanya disedari selepas dimaklumkan oleh majikannya.

“Saya sangat terkejut apabila melihat kenderaan saya telah rosak, apa boleh buat perkara sudah berlaku, saya reda sahaja,” katanya.

Kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu, beberapa buah khemah peniaga ranap di hadapan sebuah stesen minyak di Desa Aman, Pengkalan di sini, setelah dilanda angin kuat dan hujan lebat.

Dilaporkan beberapa batang pokok turut tumbang di kawasan itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di Gunung Rapat pada pukul 3.53 petang tadi.

Katanya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebatang pokok besar telah menimpa lima buah kenderaan, namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

Beliau berkata anggota bomba telah melakukan kerja-kerja memotong dahan pokok menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan potongan pokok itu ke tempat yang lebih selamat.

Operasi yang turut dibantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh itu tamat sepenuhnya 5 petang tadi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1494
Kongsi :
Previous post Sindiket edar dadah di Felda sekitar Kuantan tumpas
Next post Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam longkang
Ubah saiz-+=