Keputusan kerjasama parti atau solo ditentukan Khamis depan – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 24 Okt – Keputusan sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding solo atau bergabung dengan parti lain hanya akan diketahui Khamis depan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“UMNO masih belum lagi memutuskan sama ada bertanding solo atau bergabung dengan mana-mana parti.

“Kita tunggu keputusan mesyuarat MT Khamis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena program Ziarah Kasih di Masjid Tanah dan Londang di sini.

NAJIB bersarapan bersama Sulaiman dan penduduk kampung di Masjid Tanah.

Terdahulu, Najib bersama para kepimpinan UMNO bersarapan di Restoran AbahShan Masjid Tanah sambil bertanya khabar dengan penduduk setempat sebelum memulakan program Ziarah Kasih melawat beberapa penduduk di daerah itu yang kini terlantar sakit.

Setakat ini, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Berhubung soal pengagihan kerusi DUN sempena PRN nanti, katanya, keputusan mengenainya akan diketahui esok.

“Soal pengagihan kerusi di peringkat BN juga akan diputuskan pada mesyuarat presiden parti yang mana saya dikhabarkan esok…jadi segala keputusan kita akan maklumkan esok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post Agihan kerusi BN di PRN Melaka ditentukan esok – Rauf
Next post ‘UMNO tak lambat, itu strategi’ – Ahmad Maslan
Ubah saiz-+=