Kera ‘jajah’ Kampung Pondok Kempas ditangkap Perhilitan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BEMBAN 6 Feb – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka telah memasang perangkap khas bagi menangkap kera liar di sekitar Kampung Pondok Kempas, di sini, sejak 21 Jan lalu.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, tindakan itu bagi mengelak kejadian lebih serius melanda penduduk di kampung tersebut pada masa akan datang.

“Kita sudah memasang perangkap jenis corong sejak 21 Jan lalu setelah mendapat laporan daripada penduduk di kampung berkenaan mengenai gangguan kera liar di situ.

“Perangkap kera itu masih aktif dan setakat ini, sebanyak 10 ekor kera liar telah berjaya ditangkap melalui usaha itu, ” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau mengulas mengenai rungutan penduduk Kampung Pondok Kempas mengenai gangguan kera liar di kampung tersebut sehingga merosakkan barangan dan peralatan rumah.

Penduduk khuatir serangan kera akan lebih agresif dan dibimbangi mencederakan orang ramai khusus kanak-kanak.

Menurut Mohd Firrdhaus, pihaknya sedang merangka tindakan lanjut yang terbaik dalam usaha menangani masalah kera liar di kampung berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau meminta kerjasama penduduk di situ agar tidak melakukan tindakan provokasi terhadap kumpulan kera liar yang menganggu mereka.

“Kita minta penduduk jangan menghampiri kera liar tersebut, elak provokasi kerana khuatir kera tersebut akan bertindak menyerang penduduk.

“Jangan beri makanan pada kera kerana kita khuatir kera tersebut akan bergantung kepada sumber makanan manusia pada masa depan,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1752
Kongsi :
Previous post Cadangan gaji minimum RM1,500 jejaskan pemulihan ekonomi – MEF
Next post SOP solat di masjid berkesan kekang COVID-19
Ubah saiz-+=