Kerajaan negeri bangunkan ‘Page Melaka’ menerusi Lazada

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 2 Feb – Kerajaan negeri membangunkan laman ‘Page Melaka’ dalam platform e-dagang terkemuka, Lazada bagi membolehkan rakyat negeri ini mendapatkan keperluan harian secara atas talian.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, berkata dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik COVID-19, trend membeli-belah secara atas talian menjadi rutin harian berikutan cara itu dapat memberikan keselesaan dan kemudahan kepada rakyat.

Katanya, trend itu semakin meningkat ketika rakyat berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu.

“Berdasarkan rekod diperolehi, terdapat peningkatan 300 peratus dalam kalangan usahawan baru yang berdaftar menerusi platform Lazada.

“Ini menunjukkan platform berkenaan diyakini dapat mengembangkan lagi produk pelancongan negeri Melaka, selain mempromosikan produk dan perkhidmatan itu dengan lebih meluas di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan memperluaskan produk menerusi platform itu, Melaka mampu menarik sasaran 6.2 juta pelancong ke negeri ini.

“Justeru itu, kerajaan negeri berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan pihak Lazada untuk berkongsi secara eksklusif dengan pengiat pelancongan menerusi beberapa insentif yang ditawarkan.

“Antara insentif itu adalah mengenepikan yuran ‘onboarding’ dan ‘listing’ kepada 550 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau penggiat industri pelanconan bagi melonggarkan syarat pendaftaran masuk ke platform Lazada.

“Selain itu, Lazada memberikan panduan ‘onboarding’ dan memberikan latihan melalui Universiti Lazada dengan usaha pemasaran untuk memberikan sokongan yang diperlukan oleh semua usahawan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, BBP memohon jasa baik semua usahawan dan penggiat industri di negeri ini untuk memberikan maklumat berkaitan sebagaimaan dilampirkan dalam borang Maklumat Produk dan Perkhidmatan Pelancongan bagi Promosi dan Jualan Pakej Di Lazada selewat-lewatnya pada 19 Februari ini.

Jelasnya, borang berkenaan boleh diperolehi menerusi BBP dan maklumat yang lengkap diisi boleh diserahkan menerusi emel ke [email protected] atau [email protected].

“Kempen jualan menerusi ‘Page Melaka’ dijangka akan dilancarkan pada awal Mac ini,” katanya.

Views:

846
Kongsi :
Previous post Kerani kilang rugi RM68,700 diperdaya Macau Scam
Next post Pejuang sudah kemuka rayuan berkaitan pendaftaran
Ubah saiz-+=