Kerani kilang rugi RM68,700 diperdaya Macau Scam

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH: Seorang lagi penduduk negeri ini diperdaya sindiket Macau Scam, semalam membabitkan kerugian RM68,700, sekali gus menjadi mangsa ke 12, sejak Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E. Sudra Rajan berkata, mangsa adalah wanita berusia 40 tahun dari Krubong, dekat sini, dan bekerja sebagai kerani kilang.

Katanya, sepanjang Januari lalu seramai 11 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita menjadi mangsa sindiket terbabit dengan jumlah kerugian melebihi RM2.4 juta.

“Daripada jumlah itu enam kes direkodkan di Melaka Tengah membabitkan kerugian lebih RM2.26 juta, Alor Gajah (tiga kes, RM50,650) dan Jasin (dua kes, RM65,000),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sundra Rajan

Mengulas kes terbaru itu,  Sundra Rajan berkata, mangsa menyatakan dia dihubungi seorang perempuan Melayu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai operasi cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai syarikat beroperasi di Kuantan, Pahang sebanyak RM38,690.

“Mangsa menafikan perkara itu dan disambungkan kepada seorang lelaki mendakwa sebagai ‘Sarjan Roslan’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat aduan berkaitan.

“Sarjan Roslan meminta butiran peribadi mangsa untuk membuat semakan dan mendakwa mangsa turut terbabit kes penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya disambungkan pula kepada seorang lelaki mengaku ‘Asisten Komisioner Datuk Wazir’ yang mengarahkannya memuat turun aplikasi MYBNM dan mengisi butiran akaun bank untuk siasatan,” katanya.

Sundra Rajan berkata, selepas mengikuti arahan suspek, mangsa menerima mesej melalui WhatsApp meminta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

“Tanpa curiga mangsa menyerahkan no TAC sebelum menyedari dirinya ditipu selepas menerima pesanan ringkas bank memaklumkan berkenaan pindahan wang dari akaun mangsa.

“Mangsa menghubungi tiga bank dan diberitahu transaksi gagal, namun terdapat satu pindahan wang berjaya dilakukan ke akaun ketiga dari akaun HSBC Bank Malaysia Berhad milik mangsa dengan sembilan transaksi berjumlah RM68,700,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan polis mendapati nombor telefon digunakan suspek terbabit 14 laporan polis menggunakan modus operandi sama dengan kerugian yang dialami secara kumulatif mencecah RM492,950.50.

“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai menyemak nombor telefon dan akaun bank melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang urusan

“Jangan mudah percaya individu menyamar pihak LHDN dan sebagainya dan memuat turun aplikasi yang mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa,” katanya.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Hospital swasta sedia terima sejumlah pesakit COVID-19
Next post Kerajaan negeri bangunkan ‘Page Melaka’ menerusi Lazada
Ubah saiz-+=