Kerajaan pertimbang tubuhkan semula AIDA di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SERKAM 28 Nov. – Penubuhan semula Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) mampu menjadikan Melaka sebuah negeri jelapang padi dalam menghasilkan pengeluaran berkualiti di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya akan menilai semula permohonan kerajaan negeri bagi menubuhkan semula inisiatif terbabit dan yakin akan memberi manfaat kepada golongan pesawah di Melaka.

“Kita yakin penubuhan AIDA ini mampu membuka sebagai sebuah pusat aktiviti pertanian berkelompok di negeri ini yang akan memberi kemudahan kepada mereka agar segala aktiviti pertanian berjalan secara berpusat.

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah. Foto Facebook

“Ia juga mampu memberi peluang bagi kerajaan memperuntukkan pelbagai inisiatif dengan lebih sistematik dan efektif dengan pulangan yang membawa kepada penghasilan produk hasil padi yang bermutu tinggi.

“Setakat ini AIDA hanya ditubuhkan di negeri-negeri jelapang padi seperti Perak, Sabah, Sarawak serta pelbagai lagi yang telah ditubuhkan sejak dahulu,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Menuai Padi Varieti MR303 di Kampung Tedong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Tambah beliau, berdasarkan hasil padi MR303 yang telah dituai di kawasan itu ia membuktikan Melaka berpotensi menjadi negeri jelapang padi berikutan beberapa kawasan di kenal pasti bersesuaian untuk menjalankan penanaman padi jenis varieti tersebut.

“Padi varieti MR303 ini terdapat beberapa kebaikan antaranya memberi hasil tuaian tinggi sebanyak 10 tan bagi keluasan satu hektar, justeru kita menyarankan pesawah mengusahakan tanaman padi ini secara optimum tanah-tanah sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, Norhizam berkata, penubuhan AIDA yang diusulkan itu mampu menjadikan sebuah badan yang akan memantau perkembangan pengeluaran padi yang mampu meningkatkan pengeluaran pendapatan dalam kalangan petani.

Menurutnya,pihaknya menyasarkan beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Serkam, Sungai Rambai, Jasin, Setulang Daeng, Bukit Rambai, Pengkalan Batu, Bukit Piatu serta pelbagai lokasi lain.

“Di Melaka mempunyai pelbagai lokasi sawah padi bagaimanapun sektor ini terpaksa dihentikan golongan petani disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna.

“Perkara ini telah mendatangkan pelbagai masalah yang dihadapi petani terutama banjir dan sebagainya membuatkan mereka berputus asa, sekiranya perkara ini diangkat kita akan kembalikan Melaka sebagai negeri yang menghasilkan padi, sekali gus memberi peluang petani mengerjakan semula tanah yang telah terbiar,”katanya.

Views:

2279
Kongsi :
Previous post Insentif sektor pertanian tingkat pengeluaran makanan
Next post Kem Terendak perlukan hospital baharu
Ubah saiz-+=