Kem Terendak perlukan hospital baharu

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 28 Nov. – Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, di sini yang sudah 56 tahun beroperasi dilihat sudah agak daif dan dikhuatiri tidak boleh berfungsi untuk satu tempoh yang lebih lama.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, biar pun telah menerima peruntukan sebanyak RM40 juta untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia bukan suatu penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang.

Sebaliknya, beliau melihat wujudnya keperluan mendesak untuk pembinaan hospital baharu yang lebih selesa dengan fasiliti yang lebih moden bagi memberi keselesaan bukan sahaja dari kalangan pesakit yang terdiri daripada anggota dan veteran tentera sahaja, bahkan orang awam.

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain (kanan) melawat penempatan Tentera Darat di 94 Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka. Foto : MR. Azli

“Kalau boleh sekarang juga saya nak bina baharu hospital ini sebab daripada lawatan saya melihat banyak fasiliti yang sudah uzur. Anda bayangkan lif yang digunakan sejak 1964, alat gantinya pun sudah tiada.

“Sebab itulah saya katakan pentingnya sebuah hospital baharu. Jadi, kita akan cuba memohon kepada kerajaan untuk pembinaan baharu ini. Andai tidak dapat peruntukan daripada kerajaan kita akan berusaha dengan cara lain termasuklah daripada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan sebagainya.

“Ia penting kerana hospital ini bukan sahaja digunakan oleh anggota dan veteran sahaja, bahkan turut digunakan oleh orang awam. Saya difahamkan dalam tempoh setahun seramai 63,000 pesakit dirawat di sini dan majoritinya adalah orang awam dari kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja selama sehari ke Kem Terendak, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr. Md. Amin Muslan.

Ismail Sabri berkata, buat masa ini pihaknya masih belum memutuskan anggaran kos pembinaan hospital baharu tersebut, sebaliknya meminta bahagian pembangunan dan Bahagian Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneliti secara menyeluruh cadangan yang bersesuaian.

“Apa yang pasti, hospital baharu itu akan tetap dibina di dalam kawasan Kem Terendak seluas kira-kira 40 ekar ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai peruntukan RM40 juta untuk kerja-kerja membaik pulih HAT Kem Terendak seperti yang telah diluluskan, beliau berkata, ia akan digunakan untuk menyelesaikan isu-isu terdesak seperti menaik taraf fasiliti air, elektrik dan memperbesarkan dewan bedah serta pusat unit rawatan rapi (ICU).

Jelasnya, tender bagi projek berkenaan akan dikeluarkan pada bulan depan yang mana-mana kerja-kerja baik pulih dijangka akan bermula pada Jun, tahun depan.

Untuk rekod, selain Kem Terendak, terdapat empat lagi HAT di negara ini termasuklah HAT Tuanku Mizan, Kuala Lumpur; HAT Pengkalan TLDM Lumut, Perak; HAT Gemas, Negeri Sembilan dan HAT Sepanggar di Sabah. s

Views:

2474
Kongsi :
Previous post Kerajaan pertimbang tubuhkan semula AIDA di Melaka
Next post 30 peratus rakyat dijangka peroleh vaksin COVID-19 awal 2021 – PM
Ubah saiz-+=