30 peratus rakyat dijangka peroleh vaksin COVID-19 awal 2021 – PM

0
319
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto FB

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Seramai 9.6 juta atau 30 peratus rakyat Malaysia dijangka memperoleh vaksin COVID-19 tahun hadapan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menandatangani dua perjanjian bagi tujuan itu.

Semalam, beliau mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

“Selain perjanjian dengan Pfizer, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan menerima bekalan vaksin secara berperingkat mulai suku pertama tahun depan,” kata beliau yang juga merupakan Presiden Bersatu dalam ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang dibuat secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan akses kepada vaksin itu serta usaha berterusan untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik berkenaan, Malaysia akan berjaya mengawal sepenuhnya kes jangkitan sekali gus membantu memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin turut menegaskan kepentingan usaha kolaboratif antara negara serantau dalam memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi serta memastikan wujudnya akses yang saksama kepada vaksin berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berharap agar Belanjawan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar pada Khamis lepas akan dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara bagi memastikan matlamat untuk menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas tercapai.

“Ada yang berpendapat Belanjawan 2021 perlu ditolak untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. Tak perlulah buat begitu.

“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan. Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan memilih kerajaan menerusi pilihan raya umum apabila pandemik COVID-19 berakhir.

“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihan raya umum,” katanya.

Hari ini Bersatu mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang bermula dengan perhimpunan sayap Srikandi dan Armada pada sebelah pagi.

Perhimpunan agung sehari itu dijalankan secara maya dari beberapa lokasi dan dijalankan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan negara berhadapan dengan ancaman pandemik itu.

— BERNAMA