Mesyuarat khas kukuhkan sempadan negara dalam masa terdekat – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SUNGAI UDANG 28 Nov. – Mesyuarat khas membincangkan strategi mengukuhkan sempadan negara akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat yang diketuai Panglima Angkatan Tentera bersama agensi keselamatan terlibat itu akan melihat secara menyeluruh penambahbaikan yang diperlukan untuk memperkasa sempadan negara di masa akan datang.

Selain itu, katanya, ia juga akan membincangkan kaedah berkesan mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan besar-besaran pendatang asing tanpa izin  (PATI) ke negara ini.

“Melalui mesyuarat tersebut, pelbagai aspek akan kita lihat secara menyeluruh, bukan sahaja membina tembok yang lebih tinggi, tetapi kita juga melihat faktor-faktor lain seperti keperluan menambah anggota dan keperluan penambahan pos-pos di sempadan.

“Kalau boleh, mesyuarat itu nanti akan menentukan apakah sebenarnya yang diperlukan untuk memperkasa dan memperkuatkan kedudukan kita di sempadan supaya kita tidak dibolosi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja selama sehari ke Kem Terendak, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr. Md. Amin Muslan.

Baru-baru ini, isu sempadan negara menjadi antara isu hangat diperdebatkan ekoran kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54 yang ditembak penyeludup dalam insiden tembak-menembak di Tembok Sempadan Padang Besar, Perlis, 24 November lalu.

Insiden sama turut mengakibatkan seorang lagi anggota, Koperal Norihan Tari cedera parah akibat terkena tembakan daripada penyeludup.

Disebabkan insiden itu, ramai pihak menggesa kerajaan untuk segera mencari jalan terbaik dalam usaha mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Antara yang bersuara termasuklah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) yang mencadangkan kerajaan segera membina tembok keselamatan yang lebih kukuh sebagai jalan penyelesaian kepada isu penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis dan Kedah.

Views:

863
Kongsi :
Previous post 30 peratus rakyat dijangka peroleh vaksin COVID-19 awal 2021 – PM
Next post Perahu nelayan wajib warna ungu
Ubah saiz-+=