Kerajaan tetap harga borong, runcit dua vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PUTRAJAYA 13 Jan – Harga borong dan harga runcit maksimum bagi dua produk vaksin COVID-19 telah ditetapkan kerajaan berkuatkuasa 15 Jan ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, harga bagi vaksin jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm itu diletakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, harga maksimum bagi CoronaVac keluaran Sinovac ialah RM62 bagi harga borong dan RM77 bagi harga runcit, manakala Covilo keluaran Sinopharm bernilai RM49 bagi harga borong dan RM61 bagi harga runcit.

“Harga runcit maksimum yang ditetapkan tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin COVID-19.

“Penentuan harga maksimum ini dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

“Senarai dan harga vaksin COVID-19 akan dikaji dan ditambahbaik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan menawarkan ‘private-purchase vaccination’ diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin COVID-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

“Dengan ini orang ramai boleh membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin COVID-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna,” katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Manakala Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kerajaan menyediakan medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan harga. Jika didapati ada individu atau syarikat yang tidak patuhi undang-undang dengan harga maksimum ini, pengguna boleh salurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal daif dapat perhatian kerajaan negeri
Next post Tiga kuil dibuka untuk Thaipusam di Melaka
Ubah saiz-+=