Kerjasama BN-PH bentuk kerajaan di Perak, Pahang demi kestabilan

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan di Perak dan Pahang adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerjasama yang dibina BN Perak dan Pahang itu juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata kedua-dua gabungan itu merintis jalan baharu untuk membawa politik centric, jalan kesederhanaan dan matang, selari dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata walaupun kerajaan yang dibentuk adalah campuran selepas Perikatan Nasional (PN) menolak menyertainya, namun semangat perpaduan tetap menjadi inti atau teras utama kerajaan kini.

Presiden UMNO itu berkata kerjasama tersebut tidak sama sekali mengabaikan prinsip UMNO kerana penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu sebelum ini adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa. Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” katanya.

Ahmad Zahid berkata UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov sekali gus membentuk kerajaan perpaduan selepas negara menyaksikan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

975
Previous post Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260
Next post 4×4 ‘kenit’ jadi kegilaan