4×4 ‘kenit’ jadi kegilaan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

Oleh: Sonny Ikmal, Faris Haikal Zakaria dan Hana Idris

ASAHAN 29 November – Reka bentuk badannya yang bersaiz kecil tetapi berupaya merempuh ranjau trek berliku merupakan keistimewaan di sebalik sebuah permainan kawalan jauh (RC) Crawler.

Seakan mengimbas kembali zaman kanak-kanak, ‘trend’ permainan yang dianggap sukan ini dilihat kembali menjadi kegilaan ramai.

Meskipun hanya menggunakan alat kawalan jauh untuk mengendalikannya, namun kepuasannya dianggap sama seperti memandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) di trek sebenar.

Menurut Presiden Kelab RC (Remote Controller) Melaka, Norazli Mazlan, 42, fenomena permainan itu jelas ketara apabila kini kira-kira 100 peserta dari negeri ini mula menceburkan diri di dalam sukan berkenaan.

Malah, katanya, sambutan yang diterima bukan sahaja membabitkan lelaki dewasa, bahkan turut disertai pelajar sekolah dan warga emas.

1 rc car
NORAZLI bersama ahli Kelab RC bergambar selepas melakukan aktiviti permainan RC Crawler di Asahan, baru-baru ini.

“Peminat permainan RC ini pelbagai peringkat umur daripada seawal sembilan tahun sampailah ke warga emas sebab kepuasan sama macam memandu 4×4 dalam hutan.

“Disebabkan sambutan yang semakin baik, kita telah menganjurkan acara permainan RC ini setiap bulan untuk mengeratkan silaturrahim kerana dari situ kita boleh mengumpulkan Crawler dari negeri-negeri lain.

“Jika diikutkan hobi ini sudah lama tetapi ia tercetus apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lepas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ujar Norazli, permainan itu cukup unik kerana pemain berpeluang merasai sendiri debaran mengawal kenderaan kecil itu untuk melepasi setiap halangan trek.

4 rc car
TREK berlumpur yang direka persis situasi di hutan sebenar.

“Bukan mudah. Walaupun ini sekadar hobi sahaja tapi kita cuba cipta rekod yang cemerlang baik daripada segi kepantasan, spesifikasi kenderaan atau ketahanan melalui setiap halangan itu.

“Menariknya, setiap peserta mempamerkan pilihan rangka mengikut model pacuan empat roda yang sebenar. Puas bila dapat tengok Land Rover, Pajero mini ini beraksi.

“Walaupun ada yang berhabis ribuan ringgit untuk melakukan modifikasi badan kenderaan ‘kenit’ agar tahan lasak, namun itu adalah kepuasan,” katanya.

Melihatkan potensi yang baik daripada permainan tersebut, Norazli juga berpendapat sukan RC Crawler perlu mendapat pengiktirafan dalam negara.

3 rc car
ANTARA model RC Crawler yang menjadi kegilaan masa kini.

“Kelab kita dalam perancangan membuat permohonan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Kita cuba daftar dengan Jabatan Belia dan Sukan di samping berusaha sekarang mendapatkan beberapa tapak baharu supaya sukan ini dapat menjana ekonomi Melaka seterusnya menjadi salah satu aset pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2575
Kongsi :
Previous post Kerjasama BN-PH bentuk kerajaan di Perak, Pahang demi kestabilan
Next post Sidang DUN Melaka pada 12 hingga 15 Disember – Speaker
Ubah saiz-+=