Kes COVID-19 di Melaka menurun

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

MELAKA 19 Nov – Kes positif COVID-19 baharu di Melaka menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu daripada 1,400 kes pada minggu epidemiologi (ME) ke-44 (31 Okt hingga 6 Nov) kepada 1,300 kes pada ME ke-45 (7-13 Nov).

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata purata kes aktif turut menunjukkan penyusutan sebanyak 8.7 peratus iaitu daripada 3,075 kes (ME ke-44) kepada 2,809 kes (ME ke-45) dan penurunan kes aktif dilihat konsisten sejak ME ke-40.

“Kes kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak 33 peratus iaitu daripada 6 kes (ME ke-44) kepada 4 kes (ME ke-45).

“Purata tujuh hari kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi turut menunjukkan penurunan sebanyak 11.8 peratus iaitu 17 kes (ME ke-44) kepada 15 kes (ME ke-45),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Melaka menduduki tempat kelima tertinggi daripada keseluruhan negeri di Malaysia dari aspek kadar insiden jangkitan iaitu 290 per 100,000 penduduk bagi tempoh dua minggu bermula 4 Nov lepas.

Rusdi berkata kebolehjangkitan (Rt) di negeri ini menunjukkan trend tidak stabil dalam tempoh dua minggu berkenaan namun lebih rendah daripada Rt Malaysia.

Selain itu, katanya, purata tujuh hari kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan sebanyak 14.3 peratus iaitu daripada tujuh kes (ME ke-44) ke enam kes (ME ke-45) dan nilai Rt COVID-19 juga menyusut daripada 0.99 pada akhir ME ke-44 kepada 0.97 pada akhir ME ke-45.

Beliau berkata sehingga 13 November lepas, terdapat sebanyak 181 kluster kumulatif di Melaka dan daripada jumlah itu 167 kluster telah tamat, manakala 14 kluster masih aktif.

Kluster berkenaan membabitkan lapan kluster kilang, masing-masing dua kluster tempat kerja lain dan dua kluster institusi pendidikan serta masing-masing satu kluster komuniti dan satu kluster keagamaan.

Menurutnya sehingga 13 November lepas, bilangan kemasukan kes baharu dari kategori tiga hingga lima adalah sebanyak tujuh orang sahaja daripada 198 kes baru yang dilaporkan, iaitu 3.5 peratus.

“Bagi kes kematian pula, sebanyak 915 kes telah dilaporkan membabitkan 119 kes kematian dibawa ke hospital (BID), manakala jumlah kadar kematian kerana COVID-19 bagi negeri Melaka adalah 1.3 peratus sehingga 13 Nov lepas.

“Status vaksinasi pesakit yang meninggal dunia adalah 63.3 peratus tidak divaksin, separa vaksinasi (25.6 peratus) dan divaksinasi lengkap (11 peratus),” katanya.

Beliau berkata kadar kes kematian COVID-19 mengikut umur pula adalah 50.8 peratus terdiri daripada mangsa berumur 60 tahun ke atas, 18 hingga 59 tahun (48.6 peratus), 12 hingga 17 tahun (0.3 peratus) dan bayi baru lahir sehingga berumur 11 tahun (0.1 peratus).

Sementara itu dari aspek vaksinasi, penerima vaksin yang lengkap dua dos adalah sebanyak 701,621 orang iaitu 92.2 peratus daripada jumlah populasi dewasa, manakala bagi populasi remaja, sebanyak 77,204 orang atau 89.3 peratus telah lengkap dua dos sehingga 13 November lepas, jelas Rusdi.

Katanya dos penggalak juga telah diberikan kepada seramai 44,369 orang atau 6.5 peratus daripada jumlah populasi dewasa sehingga tarikh tersebut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post Pengundi muda janji kembalikan kerajaan BN
Next post Melaka mengundi esok tentukan kerajaan negeri
Ubah saiz-+=