Kes COVID-19 menurun, jika PKPB diteruskan – Exco Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 17 Nov – Melaka dijangka merekodkan penurunan kes dalam tempoh seminggu lagi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diteruskan sehingga 6 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, meskipun Melaka tidak terkecuali daripada diperintahkan untuk menjalani PKPB, namun kes COVID-19 di Melaka tidak serius berbanding negeri lain.

Bagaimanapun katanya, negeri ini akan terus meningkatkan penurunan, sekiranya keputusan kedua ujian kontak rapat Kluster Berendam menunjukkan perkembangan yang baik.

“Ancaman kita adalah kes membabitkan Kluster Berendam, namun sekiranya semua keputusan kedua ujian terhadap kluster berkenaan didapati negatif, InsyaAllah kes semakin menurun.

“Sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu lagi (hasil keputusan kedua ujian),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun negeri menunjukkan perkembangan positif itu dalam tempoh terdekat, keputusan untuk menamatkan PKPB seeloknya diteruskan sehingga tarikh tamat sebagaimana diumumkan sebelum ini demi memastikan negeri ini benar-benar bebas daripada ancaman gelombang ketiga COVID-19.

“Ketika PKPB dikuatkuasakan, kes di Melaka merekodkan 12 kes sahaja.

“Elok juga (diteruskan PKPB tamat pada 6 Disember depan) supaya sempadan negeri ditutup bagi mengelakkan peningkatan kes,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PKPB boleh ditamatkan lebih awal jika ada kawasan mencatatkan penurunan berdasarkan penilaian semula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semakin banyak lokasi berada Zon Hijau.

Setakat semalam, sebanyak 47 kes positif COVID-19 masih dirawat di Hospital Melaka termasuk dua daripada dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala dua daripadanya dilaporkan sembuh.

Views:

675
Kongsi :
Previous post Banteras penularan wabak denggi tanggungjawab bersama
Next post COVID-19: Dua kes baharu di Melaka
Ubah saiz-+=