Banteras penularan wabak denggi tanggungjawab bersama

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

Oleh Juraidah Othman

JASIN 17 Nov. – Orang ramai khususnya penduduk di daerah Jasin digesa agar menitikberatkan aspek kebersihan serta membersihkan persekitaran rumah bagi membanteras penularan wabak denggi yang boleh membawa maut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron berkata, penyakit demam denggi perlu diatasi secara kolektif dan bukannya sekadar berharap kepada jabatan kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun wakil rakyat semata-mata.

Menurut beliau, kes denggi di negeri ini telah meningkat dan ianya perlu kerjasama daripada semua pihak agar penularan wabak denggi dapat diatasi.

LONGGOKAN sampah di belakang rumah boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus mengundang wabak denggi.

“Masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan seterusnya menjadikan persekitaran kita dalam keadaan bersih.

“Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran,” katanya ketika Operasi Kebersihan Bersepadu Di Lokasi Wabak Denggi di Jalan Kolam Air, Taman Maju, di sini, hari ini.

Sapiah berkata, pembanterasan nyamuk Aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.

Jelasnya, tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan.

“Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan.Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk Aedes ini dari terus bermaharajalela,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau mengesa masyarakat agar berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post Nelayan dakwa rezeki terjejas kerana sampah sarap
Next post Kes COVID-19 menurun, jika PKPB diteruskan – Exco Kesihatan
Ubah saiz-+=