Nelayan dakwa rezeki terjejas kerana sampah sarap

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER LIMAU 17 Nov. – “Kalau kami turun ke sungai semasa musim air pasang besar sekarang, jaring kami akan dipenuhi sampah-sarap dari hulu sungai.

“Kami tidak sanggup membuang masa dan tenaga semata-mata untuk menanggalkan sampah-sarap yang tersangkut pada jaring,” kata nelayan sungai, Abdul Rahman Ahmat, 68.

Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada ratusan nelayan sungai di Lubok Cina, di sini yang mendakwa nelayan tidak mahu turun ke sungai sejak kelmarin kerana mendakwa air pasang besar menyebabkan sungai dipenuhi sampah-sarap.

Ini kerana berbeza dengan nelayan laut, nelayan sungai mendakwa terpaksa berhadapan dengan risiko jaring dipenuhi sampah-sarap yang hanyut dari hulu sungai.

Sehubungan itu, setiap kali musim air pasang besar berlaku, mereka tidak mahu memperjudikan nasib turun ke sungai kerana sudah menjangka, bukan ikan yang memenuhi jaring, sebaliknya sampah-sarap.

Abdul Rahman berkata, kebanyakan nelayan sungai tidak akan membuang masa melabuhkan jaring di Sungai Ramuan Cina, Sungai Linggi, Sungai Timun dan Kuala Linggi kerana ia hanya akan membuatkan mereka terpaksa menghabiskan berjam-jam untuk menanggalkan sampah-sarap yang tersangkut pada jaring.

“Kami bukannya mengada-adakan cerita sampah-sarap penuh pada jaring, sebaliknya ia adalah kejadian benar yang menyebabkan kami kerugian.

ABDUL Rahman

“Selain membuang masa dan tenaga, kami terpaksa menanggung kerugian petrol yang terbuang begitu sahaja untuk mudik ke hulu semata-mata untuk kononnya menangkap ikan tetapi yang kami dapat hanyalah sampah-sarap yang tiada nilai walau satu sen pun,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, di sini hari ini.

Beliau mendakwa, sampah-sarap berkenaan berpunca daripada anggota komuniti yang bukan setakat tidak prihatin terhadap aspek penjagaan alam sekitar, malah tidak mahu menyahut seruan kerajaan supaya bersama-sama memelihara kebersihan sungai demi kepentingan bersama.

Jaafar Mabat, 53, berkata pengalaman sebagai nelayan sejak 35 tahun lalu mengajar beliau supaya tidak turun ke sungai pada musim air pasang besar yang berlaku saban tahun.

“Lazimnya air pasang besar berlaku pada Oktober dan November setiap tahun dan setiap kali itu jugalah saya tidak turun ke sungai kerana jika saya turun juga, jaring akan dipenuhi sampah-sarap.

JAAFAR

“Selain plastik, sampah-sarap yang turut tersangkut pada jaring ialah bekas makanan polisterin dan botol plastik serta ranting kayu,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina hari ini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post Cadang guna cukai warisan bantu pelancongan Melaka
Next post Banteras penularan wabak denggi tanggungjawab bersama
Ubah saiz-+=