PRN MELAKA: BN KEKAL TANDING 21 DUN, RUNDING PERTUKARAN KERUSI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka kekal dengan pendirian untuk bertanding di 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, dengan rundingan pertukaran beberapa kawasan atau ‘cross swap’ sedang dijalankan bersama pihak yang bakal bekerjasama.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berlangsung, namun ia tidak mengubah pendirian BN untuk mempertahankan sasaran 21 kerusi.

Beliau berkata, perkara berkenaan antara yang sedang dibincangkan dalam rundingan dengan pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama bersama BN.

“Itu (kekalkan kerusi di 21 kawasan) sudah terang lagi bersuluh. Itu adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan.

“Maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil ‘cross swap’,” katanya pada sidang media khas yang turut dihadiri Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Bilik Mesyuarat Hang Jebat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf menggunakan perumpamaan ’empat cupak tetap satu gantang’ bagi menggambarkan pendirian BN berhubung jumlah kerusi yang disasarkan.

“Seperti kata orang kampung dulu, ’empat cupak tetap satu gantang’,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Kemenangan 21 kerusi itu membolehkan BN membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan rakyat Melaka akan mengundi pada 14 November ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN ELAK POLITIK JAHAT, KEBENCIAN DAN HASUTAN
Next post PRN MELAKA: SENARAI CALON BN SEDANG DITELITI