PRN MELAKA: BN ELAK POLITIK JAHAT, KEBENCIAN DAN HASUTAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka menyeru seluruh jenteranya mengelakkan kempen berunsur kebencian, hasutan, fitnah dan prasangka sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kempen politik perlu dilaksanakan secara tertib dan matang bagi memastikan keharmonian rakyat negeri ini terus terpelihara.

Katanya, kematangan rakyat dalam proses demokrasi perlu dihormati dengan memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan berdasarkan pertimbangan mereka terhadap masa depan negeri.

“Saya menyarankan dan menasihatkan kepada semua jentera BN, kita seboleh mungkin cuba mengelakkan politik-politik jahat, hasutan ataupun kebencian kerana itu bukanlah menjadi ‘core’ kita dalam usaha menyemaikan semangat kasih sayang kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, semua pihak juga perlu memastikan kempen sepanjang PRN tidak digunakan sebagai ruang untuk mencetuskan kebencian atau prasangka dalam kalangan masyarakat.

“Saya harap dalam masa kempen nanti tidak ada kempen-kempen unsur-unsur hasutan, fitnah, kebencian dan unsur-unsur jahat untuk melemahkan mana-mana parti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, pendekatan berkempen secara berhemah penting bagi memastikan proses demokrasi di negeri ini berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala hari penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Tempoh berkempen bagi PRN Melaka Ke-16 ditetapkan selama 14 hari bermula 31 Oktober hingga 13 November 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: SPR BUKA PERMOHONAN PEMERHATI PILIHAN RAYA
Next post PRN MELAKA: BN KEKAL TANDING 21 DUN, RUNDING PERTUKARAN KERUSI