Cadang guna cukai warisan bantu pelancongan Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah pasti memberi kesan terhadap ekonomi negara, Melaka antara negeri yang menerima tempias itu.

Namun, pemain industri tidak terus membiarkan sektor ekonomi di negeri ini lumpuh, malah mencari alternatif merancakkan kembali sektor pelancongan menerusi sebahagian peruntukan cukai warisan yang dikutip, melibatkan dana sebanyak sebanyak RM10 juta.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Negeri Melaka (Mybha) Sazali Sabri berkata, pihaknya bersama persatuan hotel lain akan membentangkan kertas cadangan mempromosi pelancongan Melaka.

“Kita buat persediaan bila PKPB dah habis kita promosi semula produk pelancongan Melaka dan saya percaya apabila sempadan negeri dibuka ekonomi di Melaka akan meningkat mendadak.

PENGERUSI Persatuan Hotel Bajet Negeri Melaka (Mybha) Sazali Sabri

“Hasil cukai warisan yang ada kita usahakan untuk merangsang kembali pelancongan domestik dan antarabangsa Melaka selepas keadaan kembali pulih.

“Kutipan ini daripada Tabung Amanah Caj Warisan Negeri Melaka dah lebih 10 tahun, bila tetamu datang ‘check in’ hotel mereka kena bayar RM2 ekstra untuk tabung ini,” katanya kepada MHI.

Katanya menjangkakan kira-kira 50 peratus sektor pelancongan di Melaka kembali pulih pada bulan pertama selepas PKPB ditamatkan.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin pula berkata, cadangan menggunakan cukai warisan itu bukan hanya membantu pengusaha hotel, malah sektor pelancongan di negeri ini.

“Kita cadang kepada Ketua Menteri gunakan cukai warisan untuk tolong pemain industri pelancongan, paling tidak ia dapat mengurangkan beban pemain industri di Melaka.

PENGERUSI Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin

“Ketua Menteri suruh buat kertas cadangan untuk dibentangkan, harap ada maklum balas sebab pemain industri keseluruhannya mengalami kerugian masa ini,” katanya.

Katanya, setakat hari ini sebanyak 15 hotel bajet sudah ditutup dan jika PKPB terus dilaksanakan tidak mustahil ia akan impak lebih besar.

“Kita harap kerajaan negeri boleh tolong dengan promosi, sebab itu kita minta ‘special package’ dari kerajaan negeri gunakan caj warisan untuk buat promosi supaya orang datang ke Melaka.

“Contohnya seperti keluarkan e-voucher RM50, RM100 untuk suruh orang datang ke Melaka dan secara tidak langsung membantu kurangkan perbelanjaan pemain industri,” katanya.

Manakala, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata, cadangan menggunakan cukai warisan itu sebagai mekanisme membantu ekonomi pemain industri di Melaka.

“Caj warisan tu bukan semua hanya separuh diminta untuk guna sebagai promosi membantu pihak hotel dari segi ekonomi.

PENGERUSI Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim

“Kita akan buat satu mekanisme macam mana gunakan wang tersebut untuk bantu industri, masih dalam perbincangan lagi dan dalam dibentangkan untuk kelulusan,” katanya.

Katanya, setiap minggu persatuan hotel di Melaka mengadakan perbincangan bagi memastikan sektor pelancongan di Melaka kembali pulih.

“Kita adakan perbincangan untuk buat perancangan jangka masa akan datang, kita harapkan orang luar terutama Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur datang ke Melaka.

“Tapi dalam tempoh PKPB ini kebanyakan orang nak bercuti bersama keluarga masih takut dan lebih suka duduk di rumah,” katanya.

Views:

1410
Kongsi :
Previous post Air pasang besar: Rakyat Negeri Sembilan terkandas di sempadan
Next post Nelayan dakwa rezeki terjejas kerana sampah sarap
Ubah saiz-+=