Ketua Menteri ajak rakyat Melaka daftar PADU

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DUYONG 4 Januari – Rakyat Melaka diminta agar segera mendaftarkan diri dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memudahkan kerajaan memberi faedah kepada rakyat sama ada dalam bentuk subsidi atau bantuan.

“Sudah pasti sistem yang pertama kali diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari telah didengari oleh rakyat Melaka.

“Kita perlu memberikan kerjasama supaya mendaftar segera dalam sistem ini, sistem ini memudahkan kerajaan untuk mengumpul maklumat rakyat.

“Kita hanya perlu mendaftar sendiri dan pilihan itu boleh dibuat oleh kerajaan untuk memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘Recreational Vehicle Park’ Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam dan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata beliau akan menggerakkan insiatif itu melalui wakil rakyat dan kesemua 28 Japerun di negeri ini.

“Kita mahu semua rakyat di negeri ini tahu apa itu PADU, sudah tentu mereka akan mendapat manfaatnya di kemudian hari,” tambah beliau.

2 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan PADU yang merupakan satu pangkalan data sosio-ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua perangkaan dari jabatan dan agensi kerajaan.

Ia merupakan salah satu agenda transformasi digital negara yang memberi jaminan setiap bantuan dan kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1988
Kongsi :
Previous post Melaka negeri mesra karavan
Next post PEDi Melaka sedia bantu masyarakat luar bandar daftar PADU
Ubah saiz-+=