Melaka negeri mesra karavan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DUYONG 3 Januari – Kerajaan Negeri akan mewujudkan lebih banyak tapak karavan atau campervan (van perkhemahan) untuk menarik minat pengembara singgah bermalam di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini terdapat dua tapak karavan diwujudkan iaitu di ‘Recreational Vehicle Park’ Bukit Serindit dan Paya Lebar, Masjid Tanah.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif itu untuk menjadikan Melaka sebuah negeri pilihan pemilik ‘campervan’ datang beriadah dan melancong.

“Campervan ini satu perkelahan yang menggunakan kos paling rendah, ia boleh memberi daya tarikan baharu kepada pemilik karavan yang ada di dalam Malaysia.

“Saya difahamkan ada lebih 1,000 karavan yang bergerak seluruh Malaysia dan mereka ini bernaung di bawah Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM).

“Insya-Allah selepas ini kita akan wujudkan tapak campervan ini di kawasan Pantai Tanjung Bidara, Kuala Linggi dan beberapa lagi kawasan hingga ke Sungai Kesang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘Recreational Vehicle Park’ Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga dalam usaha menambah baik kemudahan di setiap tapak campervan yang ada.

“Ini termasuklah menyediakan tandas, surau untuk solat, ruangan memasak dan tempat barbeku.

“Kita galakkan pengusaha perindustrian supaya terlibat dalam sektor pelancongan campervan ini, sudah tentu ia akan menggamit hati pengembara luar negara datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4325
Kongsi :
Previous post UTeM tawar 10 program pilihan industri tempatan
Next post Ketua Menteri ajak rakyat Melaka daftar PADU
Ubah saiz-+=