Ketua Menteri: Usah kibar Jalur Gemilang lusuh dan koyak
PANTAI KUNDOR 10 Ogos – Jangan kibarkan Jalur Gemilang yang sudah lusuh dan koyak kerana ia mempamerkan ketidakprihatinan terhadap aspek kemerdekaan negara.
Selain itu, jangan kibarkan bendera kebangsaan di lokasi tidak sepatutnya bagi menghormati kedaulatan negara yang bebas daripada penjajah sejak 63 tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali menegaskan aspek berkenaan ketika merasmikan sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
“Saya perhatikan, masih ada segelintir dalam kalangan kita yang tidak segan mengibarkan bendera lusuh dan koyak atau meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang tidak sepatutnya.
“Saya percaya rakyat Melaka yang teguh dengan semangat patriotisme, pastinya mempunyai semangat sebenar yang mengalir dalam darah masing-masing dan ayuh, sama-sama mengangkat slogan ‘Malaysia Prihatin’ yang melambangkan kita amat prihatin antara satu sama lain,” katanya.
Sulaiman berkata, sebagai rakyat negeri yang kaya dengan nilai sejarah, beliau meminta anggota komuniti supaya menghayati sejarah perjuangan Bapa Kemerdekaan negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.
“Meniti kembali sejarah kegemilangan dan kemerdekaan negara, Melaka antara negeri yang penuh dengan sejarah dan peristiwa hebat dengan kebanyakan tokoh tanah air yang membawa kegemilangan negara datangnya dari Melaka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan anggota komunti supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan pandemik COVID-19 kerana wabak berkenaan masih belum tamat sepenuhnya.
Katanya, walaupun sambutan bulan kemerdekaan tahun ini berbeza dengan tahun lalu dan tahun sebelumnya, rakyat tetap perlu bersemangat bagi menzahirkan semangat patriotik kepada tanah air tercinta.