“Tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya”
KUALA LINGGI 10 Ogos – “Saya sempat meminta arwah bernikah kerana semakin hari semakin dimakan usia tetapi arwah menyatakan dia masih belum mahu berkahwin,” kata Khatijah Shamsuddin, 68.
Ibu kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Allahyarham Koperal Muhammad Aslam Ahmad, 31, yang dipercayai tertembak diri sendiri awal pagi baru-baru ini berkata, beliau ingin melihat arwah mendirikan rumah tangga kerana tujuh abang dan kakaknya serta seorang adiknya sudah mendirikan keluarga masing-masing.
Permintaan Khatijah Shamsuddin, 68, itu dinyatakan kepada arwah ketika menghubungi anaknya Rabu lalu kerana merindui suara anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu dan dalam perbualan itu, arwah menyatakan dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Khatijah berkata, ketika berbual, beliau mengusik anak kedua bongsunya itu supaya mencari calon sesuai untuk dijadikan isteri tetapi arwah secara lembut menyatakan dia masih belum bertemu dengan gadis idamannya.
“Arwah tidak menyatakan sama ada dia demam atau sakit, sebaliknya arwah gembira dan tidak menunjukkan sebarang perubahan nada suara kecewa atau marah atau seumpamanya.
“Saya tidak sangka itulah kali terakhir saya mendengar suaranya sebelum arwah meninggalkan kami untuk selama-lamanya dan saya berdoa Allah mengampunkan dosanya serta mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru
.
Jenazah arwah dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas dibedah siasat dan tiba di kediaman berkenaan jam 3.30 pagi semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, kira-kira tiga jam kemudian.
Arwah meninggal dunia selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA di Bedong dekat Sungai Petani kira-kira jam 5.10 pagi kelmarin.
BERNAMA melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata sebelum kejadian, pada jam 4.30 pagi arwah hadir ke bilik pengawal dan mengarahkan dua anggota yang bertugas untuk membawa kelengkapan berserta senjata ke bilik rehat untuk diperiksa.
Mangsa memaklumkan kepada dua anggota berkenaan bahawa dia berasa sejuk dan mahu berehat dalam bilik itu. Ketika dua anggota berkenaan beredar semula ke pos pengawal, mereka terdengar tembakan dan apabila kembali, mereka mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di kepala.
Sementara itu kakak arwah, Amira 35, berkata arwah menyertai PGA sejak 2008 dan ditempatkan di Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak serta ditugaskan di Markas Latihan Luar Tupah kira-kira dua minggu.
Katanya, arwah tidak pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri dan Aidiladha lalu kerana bertugas, selain faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik COVID-19.
“Kami amat terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba tetapi kami reda atas segala yang sudah berlaku dan berdoa agar rohnya sejahtera di alam barzakh,” katanya.
Selain disifatkan sebagai amat prihatin dengan keluarganya, arwah juga amat mudah diajak berunding mengenai hal ehwal keluarga dan sentiasa membantu menjayakan program keluarga seperti kenduri tahlil untuk arwah anggota keluarga, katanya.