Kumpulkan pesilat seluruh Melaka, tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat
NOR Azman (tengah) dan Ismail serta hadirin mengibarkan Jalur Gemilang pada perasmian sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat DUN Pantai Kundor di Pantai Puteri baru-baru ini. Foto Din Ahmad

PANTAI KUNDOR 10 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berhasrat mengumpulkan semua pesilat dari pelbagai pertubuhan silat di negeri ini dalam program khas tahun depan.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan mengekalkan seni budaya masyarakat Melayu yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan, sekali gus mengangkat martabat bangsa Melayu.

Katanya, usaha berkenaan akan mengumpulkan seramai mungkin pesilat dan sebanyak mungkin pertubuhan berkenaan untuk berkampung di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini yang dijangka pada pertengahan tahun hadapan.

“InsyaAllah saya akan mencuba mengumpulkan semua pesilat dan pertubuhan silat di seluruh Melaka untuk berhimpun di pantai ini sebagai satu daripada usaha kita memelihara adat, seni dan budaya kita.

“Sebelum ini kita sudah menghidupkan persembahan dondang sayang di Balai Budaya di Pantai Puteri ini dan tidak lama lagi kita akan membawa kereta lembu pula ke sini untuk dikenali oleh generasi hari ini,” katanya berucap pada perasmian sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Pantai Puteri,
Tanjung Kling di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung pada malam Sabtu itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman yan mewakili Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali.

Nor Azman berkata, ketika zaman remajanya, beliau sempat menikmati pesta air mandi Safar di pantai berkenaan yang menyaksikan pelbagai pertunjukan budaya disediakan untuk pengunjung.

“Saya pernah melalui mandi Safar dan di situlah terpancar keunikan seni dan budaya masyarakat Melayu yang mempunyai nilai amat tinggi yang seharusnya kita pelihara supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Mengenai sambutan kemerdekaan, beliau mengajak anggota komuniti supaya sentiasa prihatin terhadap pelbagai ancaman yang bertujuan memusnahkan negara.

Beliau meminta setiap anggota komuniti supaya mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagaan masing-masing bagi menyemarakkan semangat menyambut kemerdekaan negara yang ke-63.

Views:

472
Kongsi :
Previous post “Tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya”
Next post Kempen Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan rantaian COVID-19
Ubah saiz-+=