Ketua Wanita UMNO cabar bekas ketua

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PANTAI KUNDOR 7 Nov – Ketua Wanita UMNO Cawangan mencabar bekas Ketua UMNO Cawangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Itulah yang berlaku apabila Ketua Wanita UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya, Tuminah Kadi, 55, menentang bekas Ketua UMNO Cawangan itu, Datuk Nor Azman Hassan, 57.

Tuminah dipilih membawa cabaran BN bagi mengekalkan kerusi milik Barisan Nasional (BN) itu selepas Nor Azman dipecat daripada UMNO kerana menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Menurutnya, walaupun memikul tugas dan amanah itu demi parti tetapi namun beliau tetap menghormati Nor Azman sebagai bekas pemimpin UMNO di cawangan berkenaan.

“Walaupun kami pernah berada dalam satu pasukan di UMNO Cawangan Tanah Merah Jaya, saya lebih sayang akan parti daripada pemimpin kerana pemimpin datang dan pergi manakala parti kekal sebagai wadah perjuangan.

“Saya memikul tugas untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN di kerusi itu walaupun terpaksa berhadapan dengan bekas Ketua UMNO cawangan sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tuminah berkata, ketika dimaklumkan terpilih untuk memikul tugas mempertahankan kerusi Pantai Kundor, beliau terkejut tetapi tidak menolak untuk memikul amanah itu.

Katanya, beliau yakin pengundi di kerusi itu mampu membuat penilaian mengenai kemampuan BN untuk melaksanakan pembangunan berterusan demi masa depan yang lebih gemilang.

Sementara itu, Nor Azman yang bertanding atas tiket Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak memandang rendah cabaran Tuminah dan sudah bersedia dengan jentera pilihan raya PH untuk mencapai kemenangan.

“Walaupun tidak lagi mewakili BN, saya tetap yakin mampu meraih sokongan pengundi kerana sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1492
Kongsi :
Previous post Gerak kerja wanita diiktiraf BN
Next post Pemuda PH akur dengan pencalonan Idris, Nor Azman
Ubah saiz-+=