Kim Swee sambut TBC secara sederhana

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

LORONG PANDAN 12 Feb. – Tiada kemeriahan rumah terbuka dan kunjungan sanak saudara dari seluruh pelosok negara diakui sedikit sebanyak menyuramkan perayaan Tahun Baru Cina (TBC) pada kali ini.

Namun bagi Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee, dia dan keluarga akur dengan arahan yang ditetapkan kerajaan memandangkan negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Bekas pemain tengah Melaka era 90-an itu ditemui di kediamannya di Taman Pandan Indah, di sini, hari ini, mengakui sambutan kali ini serba sederhana, namun masih bersyukur kerana dapat menyambutnya bersama ahli keluarga terdekat.

TRADISI memberi angpau masih diteruskan walaupun menyambut Tahun Baru Cina dalam norma baharu.

“Memang banyak berbeza perayaan kali ini dengan tahun-tahun terdahulu kerana kali ini sambutan sederhana saja bersama keluarga terdekat dan tiada lagi rumah terbuka pada hari pertama.

“Namun, paling penting kami masih dapat menyambutnya bersama keluarga itu yang paling mustahak setiap kali tiba Tahun Baru Cina.

“Memandangkan kita masih dalam norma baharu saya berharap semua rakyat terutama yang menyambutnya akan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee yang juga bekas Ketua Jurulatih Kebangsaan dan Bawah 23 Tahun (B-23) negara menyambut baik pembukaan semula beberapa sektor sukan, termasuk bola sepak seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Katanya, pengumuman itu nyata memberi nyawa kedua buat semua kelab dan pasukan bola sepak di negara ini yang sedang berperang dengan krisis kewangan.

“Seperti kita tahu, bola sepak merupakan satu industri dan kita perlu faham bahawa industri ini perlu diteruskan kerana ia penting untuk pasukan dan kelab yang memerlukan kehadiran penaja.

“Jika tanpa penaja mereka pasti akan mengalami kesulitan terutama membabitkan aspek perbelanjaan yang besar apabila saingan liga dibuka semula nanti. Jadi saya melihat pembukaan semula ini sebagai sesuatu yang positif untuk semua,” katanya.

Views:

1483
Kongsi :
Previous post KPDNHEP beri jaminan bekalan minyak masak paket sudah kukuh
Next post Kursus kejurulatihan, program akar umbi jadi fokus utama FAM
Ubah saiz-+=