Kursus kejurulatihan, program akar umbi jadi fokus utama FAM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

LORONG PANDAN 12 Feb. – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menumpukan penganjuran kursus kejurulatihan dan program pembangunan akar umbi bola sepak sepanjang pasca pandemik COVID-19.

Pengarah Teknikalnya Datuk Ong Kim Swee berkata, perkara itu antara yang dirancang dan dijangka dapat dilancarkan menjelang pertengahan tahun ini.

“Sebenarnya, banyak kita programkan untuk tahun ini tetapi disebabkan masalah pandemik COVID-19, kita terpaksa menangguhkannya.

“Tetapi saya harap apabila industri bola sepak kembali dibuka nanti, kita dapat mengendalikan beberapa kursus kejurulatihan bukan sahaja kepada jurulatih tetapi juga kepada pengajar jurulatih selain memberi penekanan kepada program bola sepak akar umbi negara.

“Jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan besar pada pertengahan tahun ini kita akan melancarkan beberapa program atau projek tertentu,” katanya ketika ditemui pada hari pertama Tahun Baru Cina di kediamannya, di Taman Pandan Indah, di sini.

Sementara itu, mengenai saingan Liga Super bermula 5 Mac depan, Kim Swee percaya semua pasukan bertanding mempunyai misi tersendiri untuk merebut kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, secara peribadi, beliau yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kekal menjadi pencabar utama Liga Super.

“JDT merupakan pasukan pilihan kerana mereka sentiasa konsisten dan mempunyai beberapa pemain baharu yang akan memperkuatkan pasukan.

“Dengan kemasukan Mohamadou Sumareh dan beberapa pemain lagi sudah tentu akan memantapkan lagi JDT pada musim ini,” katanya.

Views:

648
Kongsi :
Previous post Kim Swee sambut TBC secara sederhana
Next post Hamidin, Mohd Yusoff menang tanpa bertanding
Ubah saiz-+=